Anugerah Permata Seni Kenyalang Hargai Kecemerlangan Pelajar Sekolah Seni Malaysia Sarawak
KUCHING: Kecemerlangan pelajar Sekolah Seni Malaysia Sarawak dalam bidang akademik, kesenian, kepimpinan dan pembangunan sahsiah diraikan menerusi Majlis Anugerah Permata Seni Kenyalang 2026 yang berlangsung di auditorium sekolah berkenaan, pada Sabtu.
Majlis yang dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU & Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi itu bertujuan mengiktiraf pencapaian serta potensi pelajar dalam pelbagai bidang, selain menghargai usaha warga sekolah dalam membentuk pelajar yang seimbang dan berdaya saing.
Antara anugerah yang disampaikan ialah Anugerah Permata Bestari bagi pencapaian akademik, Permata Waja bagi komitmen, Permata Unik bagi kecemerlangan sosial dan Permata Hati bagi kepimpinan, selain Permata Artistik yang mengiktiraf pencapaian dalam bidang seni persembahan dan seni tampak.
Anugerah Permata Seni Kenyalang turut menjadi pengiktirafan utama kepada pelajar yang menunjukkan kecemerlangan, sekali gus mengetengahkan bakat serta pencapaian warga Sekolah Seni Malaysia Sarawak dalam bidang pendidikan dan kesenian.
Penganjuran majlis itu turut menjadi platform menghargai peranan pentadbir, guru, jurulatih, ibu bapa serta rakan strategik yang sentiasa menyokong pembangunan dan potensi pelajar, khususnya dalam memastikan kecemerlangan akademik dan kesenian dapat dicapai secara berterusan.
Usaha berkenaan mencerminkan komitmen Sekolah Seni Malaysia Sarawak dalam melahirkan generasi muda yang bukan sahaja memiliki keupayaan akademik, malah mempunyai kreativiti, disiplin, kepimpinan dan jati diri melalui pendidikan berteraskan seni.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah dan Murid, Bahagian Sukan, Kurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Datin Suraili Abu Hassan, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Zamzaitul Akmal Hisham Ahmad; Pegawai Pendidikan Daerah Kuching, Sharifah Idawati Wan Ahmad serta Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Sarawak, Edmund Shah Tambi.-EDISI UKAS