Masjid Perlu Diperkasa Bentuk Ketahanan Diri Generasi Muda
KUCHING: Institusi masjid perlu diperkasa untuk membentuk ketahanan diri generasi muda di negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, peranan masjid tidak seharusnya terbatas kepada pelaksanaan ibadah khusus, sebaliknya perlu merangkumi aktiviti pendidikan, sosial dan kemasyarakatan yang mampu membina sahsiah masyarakat.
“Usaha mendekatkan golongan muda dengan masjid penting bagi membentuk kekuatan dalaman serta pegangan agama yang kukuh ketika berhadapan pelbagai cabaran dunia digital,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TEKUN Nasional kepada Masjid Darul Naim, Kampung Lintang, di sini pada Ahad.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Petra Jaya itu menggalakkan masyarakat terus menghidupkan institusi masjid menerusi penganjuran majlis ilmu, aktiviti ibadah dan program kemasyarakatan supaya fungsinya sebagai pusat pembangunan masyarakat dapat diperkukuh.
Pada majlis itu, TEKUN Nasional menyumbangkan RM30,000 kepada pihak masjid bagi menyokong keperluan serta pelaksanaan aktiviti pengimarahan institusi berkenaan.
Dalam usaha membantu golongan memerlukan, seramai 50 penerima turut menerima sumbangan barangan makanan, manakala 50 lagi menerima barangan persekolahan.
Turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pengerusi Masjid Darul Naim Abang Azizan Ariffin dan Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional Mohamad Shiblie Abg Sapuan. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Mia Amira Jalil