Penduduk Rizab Sungai Turut Diberi Pertimbangan Dalam Penyelesaian Isu Tanah
KUCHING: Penduduk yang telah lama menetap di kawasan rizab sungai di Sarawak tidak akan diketepikan dalam usaha kerajaan menyelesaikan isu pemilikan tanah.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, mereka ini akan diberi pertimbangan menerusi pendekatan dialog dan perbincangan, termasuk pemberian pampasan kepada mereka yang perlu berpindah.
“Kerajaan mengambil pendekatan berhemah dengan meneliti keadaan penduduk yang telah sekian lama mendiami kawasan berkenaan, meskipun kawasan itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang sebagai rizab sungai,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai, di sini pada Ahad.
Menurut beliau, kawasan yang memenuhi syarat untuk disukat akan diberikan surat hak milik tanah, manakala penduduk yang tidak dapat diberikan hak milik dan perlu berpindah akan menerima pampasan sewajarnya.
Katanya lagi, pendekatan itu mencerminkan usaha kerajaan mencari penyelesaian yang mengambil kira keperluan masyarakat tanpa mengabaikan peruntukan undang-undang berkaitan rizab sungai.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, seramai 338 penerima dari enam kampung di kawasan terlibat menerima 362 Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak, melibatkan keluasan keseluruhan 45.808 hektar.
Daripada jumlah itu, sebanyak 128 surat hak milik melibatkan Kampung Sungai Lumut dan Kampung Buntal di bawah Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
Sebanyak 157 lagi surat hak milik diserahkan kepada penduduk Kampung Pasir Pandak, Kampung Pasir Panjang dan Kampung Temedak menerusi Program Pengukuran Kampung Tradisional, manakala baki 77 surat melibatkan kawasan Pembangunan Darul Hana di bawah kategori Special Development Area.
Datuk Amar Awang Tengah dalam pada itu turut memaklumkan hampir 67,000 lot tanah di seluruh Sarawak telah disukat menerusi program pengukuran tanah kampung tradisi dan tanah NCR.
Jelas beliau,kerajaan menanggung sepenuhnya kos penyukatan bagi tanah NCR, tanah pertanian dan kampung tradisi, sekali gus membolehkan pemilik tanah mendapatkan hak milik tanpa perlu membayar yuran penyukatan, cukai tanah atau premium.
“Bagi kerja-kerja penyukatan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), tanah pertanian dan kampung-kampung tradisi, kita tidak perlu membayar yuran penyukatan, cukai tanah mahupun premium. Semuanya percuma dan ditanggung oleh kerajaan,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Dato Sri Mohd Naroden Majais, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR), Datu Abdullah Julaihi dan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood. -EDISI UKAS