Penerima Surat Hak Milik Tanah Diseru Jadikan Tanah Sebagai Amanah, Warisan Generasi
KUCHING: Seramai 338 penerima surat hak milik tanah di konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai diseru agar memanfaatkan tanah yang telah diberikan pengiktirafan sebagai amanah dan warisan bernilai untuk generasi akan datang.
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, penyerahan surat hak milik tersebut bukan sekadar urusan pentadbiran kerajaan, sebaliknya merupakan pengiktirafan terhadap hak masyarakat serta memberikan kepastian pemilikan tanah kepada penerima yang sekian lama menantikannya.
Menurut beliau, pengiktirafan itu turut memberi asas lebih kukuh kepada penerima untuk merancang masa depan keluarga, mengusahakan tanah secara produktif serta menyediakan warisan bernilai kepada anak-anak dan cucu-cucu mereka.
“Kalau boleh, janganlah dijual. Untuk dimanfaatkan secara bertanggungjawab dan diusahakan untuk meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan keluarga masing-masing.
“Janganlah kita melihat tanah ini sekadar sebagai satu aset yang dimiliki tetapi lihatlah tanah ini sebagai satu amanah dan peluang untuk kita membina kehidupan keluarga yang lebih baik dan bekalan kepada generasi anak dan cucu-cucu kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah DUN Pantai Damai yang disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, di sini pada Ahad.
Tambahnya, penyerahan surat hak milik tersebut mencerminkan komitmen dan kesungguhan kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan negeri terus bergerak ke hadapan, termasuk menerusi pelaksanaan pelbagai dasar, program serta projek pembangunan di seluruh negeri.
Sehubungan itu, Datuk Dr Abdul Rahman menyeru masyarakat agar terus memberikan sokongan, kerjasama dan penglibatan aktif dalam menjayakan usaha pembangunan yang dirancang kerajaan.
Seramai 338 penerima dari enam buah kampung di kawasan DUN Pantai Damai menerima 362 Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak melibatkan keluasan keseluruhan 45.808 hektar. -EDISI UKAS