Hasil Sarawak Diunjur Cecah RM15 Bilion Pada 2027, Perkukuh Kedudukan Kewangan Negeri
KUCHING: Hasil Sarawak diunjurkan mencecah RM15 bilion pada 2027 berbanding sekitar RM6 bilion hingga RM7 bilion sebelum ini, mencerminkan peningkatan keupayaan kewangan negeri dalam menyokong pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, peningkatan hasil tersebut turut meletakkan Sarawak pada kedudukan yang jauh lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain dari segi kutipan hasil kerajaan negeri.
Menurut beliau, perbezaan itu dapat dilihat menerusi carta perbandingan hasil negeri yang dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Kewangan Negara (MKewN), sebagaimana dimaklumkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mewakilinya menghadiri mesyuarat berkenaan.
“Apabila Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili saya menghadiri Majlis Kewangan, semua pendapatan negeri dipaparkan dalam satu carta bar di mana negeri-negeri lain, pendapatan mereka sedikit sahaja dan tidak begitu kelihatan.
“Tetapi apabila tiba kepada Sarawak, kedudukannya tinggi, malah jauh mengatasi negeri-negeri lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau berkata, peningkatan hasil negeri turut berkait rapat dengan usaha Sarawak memperkukuh kedudukan kewangan serta mendapatkan hak dan kepentingannya berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, keupayaan kewangan yang semakin meningkat penting bagi membolehkan Sarawak meneruskan pelbagai agenda pembangunan, khususnya dalam menyediakan peluang pendidikan, meningkatkan kemahiran serta menjamin masa depan generasi muda.
“Kita berjuang untuk rakyat, untuk negeri kita, untuk anak kita yang masih sekolah, termasuk anak yang belum dilahirkan.
“Kita tua dah dan yang akan menggantinya adalah orang muda-muda. Kita nak memberikan masa depan mereka cerah,” katanya.
Premier Sarawak turut menekankan kepentingan melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan berkeyakinan tinggi supaya mampu bersaing serta menyesuaikan diri dalam persekitaran antarabangsa.
“Jika mereka berdiri bersama masyarakat Amerika, mereka akan menjadi seperti masyarakat Amerika.
"Begitu juga jika bersama masyarakat Barat, mereka mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran tersebut, termasuk bertutur dalam bahasa Inggeris. Itulah yang kita inginkan kerana kita sedang membina masa depan,” jelas beliau.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato Sri Tiong King Sing.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus