376 Kes Penyalahgunaan Dadah Direkodkan Di Betong Sepanjang 2026
SPAOH: Sebanyak 376 kes penyalahgunaan dadah dan substans direkodkan di Bahagian Betong sepanjang 2026, menjadikannya isu sosial paling ketara berbanding empat cabaran lain yang turut memerlukan perhatian dan tindakan bersepadu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, statistik yang dikongsikan rakan strategik dan ahli Majlis Pembangunan Sosial (MPS) turut merekodkan 55 kes jenayah siber, 42 kes jenayah harta benda, 42 kes kehamilan remaja serta 16 kes keganasan rumah tangga.
“Angka berkenaan menunjukkan cabaran sosial yang dihadapi masyarakat bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah turut melibatkan keluarga dan komuniti secara keseluruhan.
“Justeru, pendekatan menyeluruh merangkumi aspek pencegahan, pendidikan, intervensi dan penguatkuasaan perlu diperkukuh bagi menangani isu berkenaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Randau Solidariti Komuniti (RSK) Bahagian Betong 2026, di sini pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerjasama antara kerajaan, agensi berkaitan, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat perlu dipertingkatkan bagi memastikan usaha menangani isu sosial dapat dilaksanakan secara berterusan.
Menyentuh mengenai program, beliau memberitahu Program Randau Solidariti Komuniti merupakan platform untuk mendekatkan kerajaan dengan masyarakat, selain membuka ruang kepada penduduk mendapatkan maklumat, berkongsi pandangan dan mengemukakan isu yang dihadapi.
Melalui pengisian seperti dialog bersama komuniti, perkongsian maklumat oleh agensi, pameran dan khidmat nasihat, program berkenaan turut membantu meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai pelbagai isu sosial yang memberi kesan kepada kehidupan seharian.
Beliau berharap pengetahuan yang diperoleh sepanjang program dapat dimanfaatkan dan disebarluaskan kepada ahli keluarga serta masyarakat setempat, manakala isu dan maklum balas yang dibangkitkan diberi perhatian oleh agensi berkaitan untuk tindakan susulan.
Turut hadir, Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK), Riziandy Nawawi, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Cawangan Kuching, Ts Scott Kueh Sui Yek, wakil Residen Bahagian Betong, Florence Bulan Johnny dan Pegawai Daerah Betong, Denny Lim. -EDISI UKAS