Semangat Setiakawan, Persefahaman Penting Kekalkan Kestabilan Sarawak
KUCHING: Semangat setiakawan yang berteraskan kepercayaan dan persefahaman antara parti politik perlu terus diperkukuh bagi memastikan kestabilan politik Sarawak terpelihara, sekali gus menyokong kelangsungan agenda pembangunan negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, prinsip setiakawan yang diamalkan dalam kerjasama politik di peringkat nasional juga perlu diterjemahkan di peringkat negeri bagi mengekalkan hubungan yang harmoni.
Menurut beliau, setiap parti yang terlibat dalam kerjasama politik perlu memahami kepentingan prinsip tersebut serta mengutamakan persefahaman bagi memastikan kestabilan yang dikecapi dapat dikekalkan.
“Kita ada konsep yang disebut sebagai setiakawan, yang berteraskan kepercayaan. Kita mempunyai semangat itu di peringkat nasional dan kita mahu semangat yang sama turut diamalkan di peringkat negeri.
“Kita mahu mempertahankan kestabilan ini dan mereka mesti memahami konsep setiakawan supaya usaha membangunkan negeri dan negara dapat diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kestabilan politik merupakan antara aspek penting dalam memastikan perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara berterusan demi kepentingan rakyat.
Katanya, sebagai sebahagian daripada Malaysia, Sarawak turut memainkan peranan dalam pembangunan negara, sekali gus menjadikan hubungan kerjasama dan persefahaman antara parti politik penting untuk dipelihara.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan mengekalkan kepercayaan dan semangat setiakawan dalam setiap bentuk kerjasama politik bagi memastikan kestabilan negeri terus terjamin.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus