PBB Semop Perkukuh Jentera Akar Umbi, Perkemas Gerak Kerja Hadapi PRN-13
DARO: Penyelarasan jentera akar umbi serta gerak kerja semua sayap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu diperkukuh sebagai persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol menekankan kepentingan memastikan setiap sayap parti, termasuk Sayap Bapa, Wanita, Pemuda dan Belia, bergerak secara tersusun menerusi perancangan serta penyelarasan yang mantap.
Beliau berkata demikian ketika perjumpaan bersama pemimpin PBB Cawangan Semop dan Meradong, di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, peranan jentera di peringkat ranting amat penting dalam menterjemahkan perancangan parti kepada gerak kerja di lapangan, selain memastikan penyampaian maklumat dan pelaksanaan aktiviti berjalan lancar.
Dalam masa sama, Datuk Abdullah menegaskan keperluan pengundi, khususnya di kawasan luar bandar, juga perlu dikenal pasti lebih awal bagi membolehkan kekangan yang berpotensi menjejaskan kehadiran mereka ke pusat mengundi diberi perhatian sewajarnya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Tanjong Manis merangkap Pengerusi CIDB Malaysia, Dato lr Yusuf Abd Wahab. -EDISI UKAS