Kejayaan PCDS 2030 Perlukan Penglibatan Aktif Masyarakat
MATU: Kejayaan Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) memerlukan penglibatan aktif masyarakat di peringkat akar umbi, termasuk pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, agenda pembangunan negeri tidak boleh bergantung kepada usaha kerajaan dan agensi pelaksana semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan serta kerjasama masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Ramah Mesra Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan NGO Daerah Matu, pada Sabtu.
Menurut beliau, muafakat antara pemimpin masyarakat, NGO dan penduduk penting bagi memastikan keperluan komuniti dapat disampaikan dengan baik, sekali gus membantu memastikan inisiatif pembangunan yang dirancang memberi manfaat kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), NGO serta masyarakat setempat supaya terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh hubungan komuniti, menyampaikan pandangan dan keperluan penduduk serta menyokong pelaksanaan agenda pembangunan negeri. -EDISI UKAS