Sarawak Fokus Penggunaan AI Secara Selamat, Bertanggungjawab & Berkesan
KUCHING: Sarawak perlu memberi tumpuan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara selamat, bertanggungjawab dan berkesan bagi memastikan teknologi itu membuka lebih banyak peluang kepada rakyat.
Pengerusi Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak, Datuk Ismawi Ismuni berkata, persoalan bagi Sarawak bukan lagi sama ada negeri ini perlu menerima AI, tetapi bagaimana teknologi itu dapat dimanfaatkan untuk menghasilkan nilai sebenar.
“AI bukan sekadar membantu kita bekerja dengan lebih pantas, tetapi sepatutnya membantu kita bekerja dengan lebih bijak, membuat keputusan yang lebih baik dan menghasilkan nilai yang bermakna,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program ‘US - Sarawak AI for Business Programme 2026 Opening and Panel’, di sini pada Isnin.
Jelas Datuk Ismawi, antara perkara yang perlu diberikan perhatian dalam penggunaan teknologi berkenaan ialah privasi data, ketepatan maklumat, keselamatan siber dan tadbir urus bagi memastikan inovasi tidak mengabaikan aspek tanggungjawab.
Merujuk pengumuman Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 12 November lalu, beliau memberitahu Sarawak menerima pelaburan melebihi RM7 bilion bagi pembangunan Kampus AI di Tanjung Embang.
Usaha itu menyusuli kerjasama melibatkan SoftBank, Grab dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dengan cadangan pelaburan awal kira-kira RM4.07 bilion dalam infrastruktur AI di Sarawak.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pelaburan teknologi perlu disertai usaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran rakyat supaya manfaat pembangunan tersebut dapat dimanfaatkan secara meluas.
“Walaupun pelaburan dalam infrastruktur teknologi amat penting, kita juga mesti melabur dalam rakyat kerana saya percaya modal insan merupakan aset paling penting.
“Teknologi bertaraf dunia hanya akan membawa kemajuan bermakna apabila tenaga kerja, perniagaan dan komuniti kita mempunyai pengetahuan, kemahiran serta keyakinan untuk menggunakannya,” katanya lagi.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMD Semiconductor Sdn Bhd Dato Shariman Jamil, Timbalan Pengerusi AZAM Sarawak Mohamad Ariff Irwani Azahari dan Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak Ali Suhaili. -EDISI UKAS