Program SKS Permudah Urusan Rakyat, Buka Peluang Ekonomi Komuniti
KOTA SAMARAHAN: Daripada urusan pendaftaran diri hingga jualan makanan dan kraftangan tradisional, Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Samarahan 2026 menjadi platform yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan, peluang ekonomi dan aktiviti komuniti di satu lokasi.
Penganjuran program itu bukan sahaja memudahkan masyarakat mendapatkan perkhidmatan secara langsung, malah memberi ruang kepada peniaga kecil, pengusaha kraftangan, golongan belia dan institusi pengajian tinggi mengetengahkan produk serta kreativiti masing-masing.
Seorang pengunjung, Masitah Ain berkata, penyediaan kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) amat membantu masyarakat, khususnya warga emas yang menghadapi kesukaran untuk berurusan di pejabat kerajaan.
“SKS memberi banyak kemudahan kepada warga emas. Dengan adanya kaunter dan reruai perkhidmatan JPN di sini, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan tanpa perlu pergi jauh ke pejabat berkaitan,” katanya ketika ditemui UKAS pada Isnin.
Sementara itu, Auni Atiqah menyifatkan penyediaan ruang niaga Samarahan Kitchen sebagai peluang kepada peniaga kecil memperkenalkan juadah tempatan, sekali gus menjana pendapatan.
Menurutnya, pertandingan nyanyian yang dianjurkan turut menyediakan platform kepada golongan belia sekitar Samarahan untuk mencungkil dan mengetengahkan bakat dalam bidang seni.
“Orang ramai berpeluang mengenali dan mencuba juadah yang dijual oleh peniaga kecil. Selain membantu ekonomi mereka, pertandingan nyanyian yang dianjurkan juga memberi peluang kepada belia sekitar Samarahan mengetengahkan bakat,” katanya.
Bagi Camelia Nazwa, kepelbagaian perkhidmatan dan aktiviti menjadikan SKS Samarahan antara program yang menarik untuk dikunjungi seisi keluarga.
“Program ini sangat menarik kerana banyak kemudahan disediakan untuk masyarakat. Cabutan bertuah juga menjadi antara tarikan utama, lebih-lebih lagi dengan hadiah seperti sebuah kereta Perodua Axia bagi SKS Samarahan kali ini,” katanya.
Dalam pada itu, pengusaha kraftangan tradisional, Duriana Sulah Anding yang pertama kali menyertai SKS Samarahan berkata, sambutan menggalakkan terhadap produk seperti burie, tangu dan marik manik membuka peluang kepadanya memperkenalkan warisan kraftangan tempatan kepada masyarakat.
“Ini merupakan kali pertama saya menyertai reruai di SKS Samarahan dan sambutan yang diterima amat menggalakkan. Saya berharap lebih ramai orang datang berkunjung serta memberikan sokongan kepada perniagaan kraftangan tradisional kami,” katanya.
Program berkenaan turut menjadi ruang pameran hasil kreativiti penuntut institusi pengajian tinggi.
Penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Mohd Jafin Halifi berkata, penyertaan mereka bertujuan memperkenalkan hasil karya fakulti kepada masyarakat, selain memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan karya yang dipamerkan.
“Tujuan utama kami membuka booth di sini adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat hasil karya yang dihasilkan oleh fakulti kami, selain membuka ruang kepada mereka untuk mendapatkan hasil karya tersebut,” katanya.
Di sebalik kemeriahan program, aspek keselamatan, kelancaran lalu lintas dan kebersihan turut diberikan perhatian bagi memastikan keselesaan pengunjung.
Petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Mohd Rizal berkata, kawalan lalu lintas dan pengurusan kawasan parkir menjadi antara tanggungjawab utama petugas sepanjang program berlangsung.
“Cabaran utama kami adalah mengawal lalu lintas dan memastikan kawasan tempat letak kereta berada dalam keadaan terkawal bagi mengelakkan kesesakan ketika kehadiran pengunjung,” katanya.
Petugas kebersihan, Vanessa Michael pula berkata, kawasan Samarahan Kitchen memerlukan pemantauan dan kerja pembersihan lebih kerap berikutan tumpuan pengunjung di gerai makanan dan minuman.
“Kawasan Samarahan Kitchen perlu diberi lebih perhatian kerana terdapat banyak gerai makanan dan minuman. Jadi, kawasan ini perlu dibersihkan dengan lebih kerap bagi memastikan kebersihan sentiasa terjaga,” katanya.-EDISI UKAS