MIS, IKMAS Dicadang Perkukuh Laluan Pengajian ke Peringkat Diploma
KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) dan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) disaran memperkukuh kesinambungan pendidikan peserta program persijilan sedia ada melalui pembangunan laluan pengajian ke peringkat diploma bagi meningkatkan kompetensi serta membuka peluang pembelajaran lebih luas dalam bidang berkaitan Islam.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, cadangan itu boleh memberi laluan kemajuan pengajian yang lebih tersusun kepada lepasan Sijil Profesionalisme Imam Sarawak (SPIS), Sijil Profesionalisme Pengurusan Masjid Sarawak (SPPMS), Sijil Pengajian Islam (SPI) dan Sijil Pengajian Bahasa Arab (SPBA).
Beliau berkata, program berkenaan boleh dirangka dalam bentuk modular, separuh masa atau gabungan pembelajaran bersemuka dan dalam talian bagi menyesuaikan dengan keperluan peserta yang sedang berkhidmat, termasuk mereka di kawasan luar bandar.
“Laluan ini wajar direka supaya sesuai bagi peserta yang sedang berkhidmat. Mode pengajian boleh dirangka secara modular, separuh masa atau gabungan bersemuka dan dalam talian boleh dipertimbangkan, dengan mengambil kira akses peserta di luar bandar.
“Manakala kurikulum, syarat kemasukan, kaedah penilaian dan keperluan pengiktirafan hendaklah diperincikan sebelum penawaran dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil MIS bertemakan ‘Memperkasa Ekosistem Ilmu, Meningkatkan Kompetensi, Membina Masa Depan Ummah’ di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini, pada Isnin.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian sijil kepada 623 peserta yang berjaya menamatkan empat program persijilan, terdiri daripada 63 peserta SPIS, 72 peserta SPPMS, 221 peserta SPI dan 267 peserta SPBA.
Datuk Dr Abdul Rahman menambah, ilmu dan pengalaman yang telah diperoleh melalui program persijilan MIS juga wajar dinilai sebagai asas pembelajaran seterusnya,
melalui mekanisme yang dibenarkan oleh pihak berkuasa berkaitan untuk menyediakan kemajuan pengajian yang tersusun dan mewujudkan halatuju yang jelas.
Katanya lagi, kerjasama MIS dan IKMAS juga dicadangkan diperkukuh melalui pembentukan kumpulan kerja bersama bagi menyediakan kertas cadangan merangkumi reka bentuk program, pengiktirafan, tenaga pengajar, kos serta bantuan peserta sebelum pelaksanaan secara rintis dipertimbangkan.
Turut hadir ialah Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Mufti Sarawak Datu Khalidi Ibrahim, Pengarah Jabatan Agama Islam merangkap Setiausaha Majlis Islam Sarawak Datu Mual Suaud serta Timbalan Pengarah Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar.-EDISI UKAS