Sokongan Pendidikan, Jasa Guru Bentuk Masa Depan Generasi
SARIKEI: Sokongan berterusan terhadap keperluan pendidikan pelajar, selain peranan guru dalam membimbing dan membentuk sahsiah generasi muda penting dalam memastikan anak-anak mendapat peluang membina masa depan yang lebih baik.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, jasa guru bukan sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan, malah merangkumi bimbingan, dorongan serta pembentukan keperibadian pelajar sepanjang proses pendidikan.
“Tidak dapat dinafikan bahawa di sebalik setiap kejayaan seorang insan, pasti ada seorang guru yang pernah membimbing dan memberi inspirasi kepada mereka. Sebab itulah jasa seorang guru sentiasa dikenang dan dihargai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Apresiasi Tahunan SMK Tinggi Sarikei 2026 di sebuah restaurant, di Sarikei, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Dato Sri Huang berkata, usaha membantu keperluan persekolahan pelajar turut diteruskan sejak 2019 menerusi sumbangan beg sekolah, pakaian seragam dan kasut sekolah bagi meringankan beban ibu bapa serta membolehkan pelajar mengikuti sesi persekolahan dengan lebih selesa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan pendidikan, termasuk menerusi inisiatif pendidikan tinggi percuma untuk anak Sarawak.
Inisiatif berkenaan dilihat sebagai usaha membuka lebih banyak peluang kepada anak Sarawak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, sekali gus mengurangkan kekangan kewangan yang mungkin dihadapi keluarga.
Menurut beliau, setiap anak berhak mendapat peluang pendidikan yang dapat membantu mereka mencapai potensi dan membina masa depan lebih baik tanpa mengira latar belakang keluarga.-EDISI UKAS