BINTULU: Seramai 2,500 peserta hadir memeriahkan program Farley Bintulu Riang Ria 2026 2.0 yang berlangsung di Parkir Farley, Medan Jaya pada Ahad.
Program berkenaan dianjurkan sebagai platform menggalakkan gaya hidup sihat, mengeratkan hubungan kekeluargaan serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat menerusi aktiviti rekreasi bersama.
Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, program seumpama itu memberi peluang kepada ibu bapa dan anak-anak untuk meluangkan masa berkualiti bersama-sama di luar kesibukan rutin harian.
“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat menyertai aktiviti riadah yang menyihatkan, malah lebih penting, mengeratkan hubungan ibu bapa dan anak-anak, memperkukuh ikatan kekeluargaan serta mewujudkan suasana komuniti yang penuh kegembiraan dan kemesraan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program berkenaan yang menampilkan larian santai sejauh 3.5 kilometer serta 10 permainan bertemakan kekeluargaan disini pada Ahad.
Menurut Johnny Pang, aktiviti sedemikian juga menggalakkan keluarga mengurangkan masa menggunakan telefon bimbit dan sebaliknya memberi lebih perhatian kepada interaksi serta aktiviti bersama.
Dalam pada itu, beliau memuji komitmen Farley dalam melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat kepada komuniti setempat di Bintulu dan Sarawak.
Beliau berkata, Farley bukan sekadar sebuah pusat membeli-belah, tetapi turut berperanan sebagai ruang komuniti yang membolehkan masyarakat berinteraksi dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.-EDISI UKAS