Pendidikan Awal Kanak-Kanak Bentuk Generasi Masa Hadapan
MIRI: Pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan penting dalam membentuk generasi berilmu, berkeyakinan dan berakhlak mulia sebagai persediaan menghadapi alam persekolahan formal.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, peringkat pendidikan tadika merupakan fasa penting dalam perkembangan kanak-kanak, khususnya dalam membina asas ilmu pengetahuan, kreativiti, kemahiran sosial serta pembentukan sahsiah.
Menurut beliau, selain menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira, kanak-kanak juga perlu dididik dengan nilai-nilai kehidupan seperti disiplin, hormat-menghormati, kerjasama dan tanggungjawab.
“Institusi pendidikan seperti Tadika HIKMAH mempunyai peranan besar dalam melahirkan generasi muda yang berilmu, berakhlak mulia dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Ke-42 Tadika HIKMAH Bahagian Miri bertemakan ‘Doa Restu Mengiringi Langkahku’ di Mega Hotel, Miri pada Ahad.
Katanya, tugas mendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan, malah memerlukan kesabaran, ketekunan, kreativiti dan rasa tanggungjawab yang tinggi dalam membimbing serta membentuk peribadi anak-anak.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan pendidikan anak-anak memerlukan kerjasama erat antara pihak tadika dengan ibu bapa kerana keluarga merupakan asas pertama dalam pembentukan sahsiah seseorang anak.
Mengulas tema graduasi tahun ini, beliau berkata ‘Doa Restu Mengiringi Langkahku’ membawa makna mendalam kerana setiap langkah anak-anak menuju kejayaan sentiasa diiringi kasih sayang, dorongan dan pengorbanan ibu bapa serta bimbingan guru.
Turut hadir Setiausaha Agung HIKMAH Sarawak merangkap Timbalan Pengerusi HIKMAH Cawangan Miri, Raihan Usop, Pengerusi HIKMAH Cawangan Miri merangkap Pengerusi Lembaga Pengurusan Tadika HIKMAH Bahagian Miri, Abang Mohamed Abang Othman serta ahli-ahli Lembaga Pengurusan, barisan guru, kakitangan, ibu bapa dan jemputan lain.-EDISI UKAS