Pesta Belawai Perkukuh Ekonomi Komuniti, Potensi Pelancongan Pesisir Terus Dipacu
BELAWAI: Pesta Belawai berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi komuniti pesisir melalui pengembangan aktiviti keusahawanan dan promosi tarikan pelancongan tempatan, sekali gus membuka peluang pendapatan kepada penduduk setempat.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abdul Wahab berkata, penganjuran pesta berkenaan menyediakan ruang kepada peniaga, usahawan kecil dan sederhana (IKS) serta pengusaha tempatan mempromosikan produk makanan tradisional dan kraf tangan kepada pengunjung.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Pesta Belawai 2026 di Pantai Belawai, pada Ahad.
Menurut beliau, kehadiran pengunjung sepanjang lima hari penganjuran dari 18 hingga 22 November turut menggerakkan aktiviti perniagaan, termasuk sektor penjaja, penginapan dan produk tempatan, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada komuniti.
Dalam usaha menyokong perkembangan perniagaan tempatan, beliau berkata pembangunan Anjung Usahawan Belawai merupakan antara langkah menyediakan kemudahan premis yang lebih selesa, kondusif dan teratur kepada peniaga kecil, penjaja serta pengusaha kraf tangan.
Beliau berkata Belawai juga mempunyai potensi untuk diperkembangkan sebagai destinasi pelancongan pesisir dan gastronomi menerusi keindahan pantai, kepelbagaian budaya masyarakat serta keunikan makanan tradisional yang menjadi identiti kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, potensi tersebut perlu disokong dengan perancangan berterusan, termasuk memastikan kebersihan, keselamatan dan kualiti perkhidmatan bagi meningkatkan pengalaman pengunjung serta mendorong kunjungan berulang.
Beliau turut menekankan penggunaan media sosial dan pemasaran digital perlu diperkasakan bagi memperluas promosi tarikan Belawai, sekali gus membuka ruang kepada pengusaha tempatan memasarkan produk dan perkhidmatan kepada pasaran lebih luas.
Sehubungan itu, golongan belia digalakkan merebut peluang dalam bidang keusahawanan, pelancongan digital dan industri kreatif dengan memanfaatkan kemudahan serta peluang yang disediakan, selain membangunkan perniagaan di kawasan sendiri.
Beliau turut menyeru masyarakat agar terus mengekalkan perpaduan dan semangat gotong-royong sebagai asas penting dalam menyokong pembangunan serta memajukan sektor pelancongan Belawai.
Pesta Belawai 2026 yang berlangsung dari 18 hingga 22 November menjadi platform menghimpunkan masyarakat, mempromosikan warisan tempatan serta memperluas peluang ekonomi kepada komuniti pesisir pantai.-EDISI UKAS