MINTRED Dan Petra Energy Perkukuh Keupayaan Syarikat Tempatan Di Pasaran Global
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh keupayaan syarikat tempatan bagi memastikan lebih banyak vendor mampu berkembang kepada pemain industri minyak dan gas yang berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pembangunan keupayaan vendor tempatan merupakan antara komponen penting dalam memastikan pertumbuhan industri bukan sahaja memberi manfaat dari segi pelaburan, malah membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan berkualiti kepada rakyat Sarawak.
Menurut beliau, industri minyak dan gas kekal sebagai salah satu tonggak utama ekonomi negeri apabila sektor perlombongan dan pengkuarian menyumbang RM32.2 bilion atau 20.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak pada 2025.
“Matlamat kita bukan sekadar melahirkan lebih ramai vendor, tetapi membangunkan syarikat Sarawak yang benar-benar berdaya saing, kukuh dari segi kewangan dan mampu berkembang secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Industri Dan Pelaburan, Datuk Malcolm Mussen Lamoh pada Majlis Pelancaran Sarawak Capacity Building Programme dan Vendor Recognition Event anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) bersama PETRA Energy Berhad di Hotel Sheraton, di sini pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa PETRONAS telah menganugerahkan kontrak bernilai kira-kira RM2.68 bilion kepada 300 vendor Sarawak pada separuh pertama 2026, sekali gus menunjukkan potensi besar penyertaan syarikat tempatan dalam sektor berkenaan.
Sehubungan itu katanya, kerjasama strategik antara MINTRED dan PETRA Energy menerusi program berkenaan akan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama, iaitu memperkukuh keupayaan teknikal dan perniagaan, meningkatkan pematuhan terhadap piawaian industri serta memperluas peluang perniagaan dan akses pasaran.
Program tersebut turut menyasarkan tiga kategori syarikat, merangkumi vendor sedia ada PETRA Energy, syarikat tempatan lain dalam ekosistem minyak dan gas serta syarikat yang dikenal pasti oleh MINTRED untuk pembangunan lebih berfokus.
Selain itu ujarnya, sehingga September 2026, syarikat berkenaan telah melibatkan 78 vendor Sarawak berbanding 62 vendor sepanjang 2025, iaitu peningkatan kira-kira 26 peratus.
Beliau turut memaklumkan bahawa Sarawak kini mempunyai 37 syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dengan jumlah permodalan pasaran kira-kira RM24 bilion, manakala 22 syarikat berprestasi tinggi yang mencatatkan pendapatan tahunan melebihi RM10 juta telah dikenal pasti untuk dibangunkan menjadi pemain industri yang lebih besar.
Dalam pada itu, beliau berkata PETRA Energy merupakan contoh kejayaan syarikat tempatan Sarawak yang bermula sebagai vendor di Miri pada 1988 sebelum berkembang menjadi syarikat tersenarai awam dengan keupayaan merangkumi rantaian nilai industri minyak dan gas.
Pada majlis sama, turut disampaikan pengiktirafan kepada vendor Sarawak yang telah menyokong operasi PETRA Energy selama ini sebelum melancarkan secara rasmi Sarawak Capacity Building Programme, hasil kerjasama strategik antara MINTRED dan PETRA Energy Berhad.
Hadir sama, Pengerusi Petra Energy Berhad, Tan Sri Ahmad Nizam Salleh, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Dato’ Sri Mohd Naroden Majais, Setiausaha Tetap MINTRED, Datu Lester Matthew, Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Sarawak, PETROS, Dato Abang Arabi Abang Narudin serta Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petra Energy Berhad, Dato’ Anthony Bujang.-EDISI UKAS