SKS Samarahan Perkukuh Penyelarasan Penyampaian Inisiatif Kerajaan
KOTA SAMARAHAN: Penyelarasan penyampaian pelbagai inisiatif Kerajaan Sarawak kepada rakyat menjadi antara fokus persiapan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Samarahan menerusi raptai penuh yang berlangsung di Halaman Samarahan, pada Isnin.
Raptai berkenaan meneliti keseluruhan perjalanan majlis, termasuk pengurusan acara, aspek teknikal serta simulasi penyampaian inisiatif kerajaan bagi memastikan pengisian program dapat dilaksanakan secara teratur menjelang majlis perasmian.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua bersama Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang hadir menyaksikan raptai penuh berkenaan bagi meneliti kesiapsiagaan pelaksanaan program.
Atur cara dimulakan dengan persembahan lagu tema Sarawakku Sayang, diikuti nyanyian lagu Negaraku dan Sarawak Ibu Pertiwiku sebelum diteruskan dengan simulasi ucapan dif kehormat serta penyampaian beberapa inisiatif utama Kerajaan Sarawak.
Antara inisiatif yang disimulasikan ialah Bantuan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) serta tawaran pembelajaran Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS).
Penyelarasan antara agensi yang terlibat turut diteliti bagi memastikan setiap pengisian, khususnya penyampaian inisiatif berkenaan, dapat dilaksanakan mengikut atur cara dan keperluan teknikal yang ditetapkan.
Datu Felicia turut menzahirkan kepuasan terhadap persiapan yang dilaksanakan serta menyampaikan pesanan kepada penerima bantuan supaya memanfaatkan inisiatif kerajaan yang disediakan bagi membantu keperluan rakyat.
Raptai penuh yang berakhir sekitar jam 12 tengah hari itu merupakan persiapan akhir menjelang majlis perasmian SKS 2026 Bahagian Samarahan yang dijadual disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada jam 4 petang ini.
Program SKS 2026 menjadi platform mendekatkan rakyat dengan kerajaan melalui penyampaian maklumat, perkhidmatan serta pelbagai inisiatif dan bantuan, sekali gus memperluas akses masyarakat terhadap manfaat yang disediakan Kerajaan Sarawak.-EDISI UKAS