Empat Kategori Bankrap Diberi Laluan Pantas Mohon Pelepasan
MIRI: Empat kategori individu bankrap diberi keutamaan memohon pelepasan kebankrapan melalui laluan pantas di bawah Dasar Peluang Kedua tahun ini.
Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia, Dato Ishak Bakri berkata, golongan berkenaan terdiri daripada ibu atau bapa tunggal, peminjam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mangsa penipuan serta pembeli rumah yang berdepan projek perumahan terbengkalai.
Menurutnya, permohonan boleh dikemukakan melalui portal e-Insolvensi, tertakluk kepada syarat bahawa kes berkenaan telah ditadbir Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) sekurang-kurangnya lima tahun serta tidak melibatkan siasatan atau prosiding mahkamah.
“Permohonan ini bagaimanapun tertakluk kepada semakan kelayakan dan sebarang bantahan daripada pihak pemiutang,” katanya ketika merasmikan Program Hari Terbuka MdI Cawangan Miri, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan individu yang diisytiharkan bankrap supaya mendapatkan khidmat nasihat MdI bagi memahami hak, tanggungjawab serta pilihan yang tersedia untuk memohon pelepasan kebankrapan.
Beliau menegaskan bahawa status bankrap bukan pengakhiran kehidupan seseorang dan mereka tidak seharusnya mengelak daripada berurusan dengan jabatan berkenaan.
“Hakikatnya, kebankrapan bukanlah pengakhiran kepada kehidupan seseorang. Oleh itu, dekatilah jabatan ini dan janganlah menyorok ataupun melarikan diri,” katanya lagi.
Menurut beliau, MdI merekodkan 83,238 kes kebankrapan aktif di seluruh negara setakat Oktober tahun ini, termasuk 1,357 kes di Cawangan Miri.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Kebankrapan MdI, Roslizi Sulaiman, Pengarah Insolvensi Negeri Sarawak, Adibah Husna Zainal Abidin dan Ketua Cawangan MdI Miri, Nur Syairah Rosman. -EDISI UKAS