Sarawak Sasar Jadi Pencipta Teknologi Semikonduktor, Perkukuh Ekosistem AI Tempatan
KUCHING: Sarawak menyasarkan untuk beralih daripada pengguna kepada pencipta teknologi menerusi pembangunan industri semikonduktor tempatan, sekali gus membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan menjana nilai ekonomi kepada rakyat seiring dengan perkembangan pesat sektor kecerdasan buatan (AI).
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Sdn. Bhd., Dato Shariman Jamil berkata, pembangunan infrastruktur AI perlu disokong oleh keupayaan teknologi tempatan bagi memastikan pelaburan dalam sektor berkenaan turut memberikan limpahan ekonomi kepada Sarawak.
Menurut beliau, usaha membangunkan cip semikonduktor tempatan merupakan langkah strategik bagi membolehkan Sarawak mengambil bahagian secara langsung dalam rantaian nilai industri teknologi global, khususnya dalam pembangunan pusat data AI.
“Kita mahu memberitahu pelabur bahawa jika mereka ingin membangunkan pusat data AI, mereka perlu menggunakan cip keluaran kita supaya pembangunan itu turut memberikan impak ekonomi tempatan, termasuk peluang pekerjaan, pemindahan pengetahuan dan peluang kepada rakyat Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama semasa Program US–Sarawak AI for Business Programme 2026 Opening and Panel di sini pada Isnin.
Dato Shariman menjelaskan, pembangunan industri semikonduktor bukan sekadar bertujuan menghasilkan komponen teknologi, malah menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem industri berteknologi tinggi yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak dalam jangka panjang.
Katanya, cip semikonduktor kuasa memainkan peranan penting dalam pelbagai aplikasi teknologi moden, termasuk sistem tenaga boleh diperbaharui, kenderaan elektrik, sistem penyimpanan tenaga bateri serta infrastruktur pusat data AI.
Dalam pada itu, beliau berkata, kelebihan Sarawak dari segi bekalan tenaga boleh diperbaharui menyediakan asas yang kukuh untuk membangunkan ekosistem semikonduktor tempatan yang lebih berdaya saing.
Sehubungan itu, pembangunan keupayaan teknologi tempatan dilihat penting bagi memastikan pertumbuhan industri AI bukan sahaja menarik pelaburan, malah turut mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan kepakaran tenaga kerja dan memperkukuh penyertaan Sarawak dalam industri teknologi bernilai tinggi.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi AZAM Sarawak, Mohamad Ariff Irwani Azahari, Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili, Pengarah Teknologi dan Hal Ehwal Negara, Foundation for American Innovation, Amerika Syarikat, Joshua Levine serta Pakar Inisiatif Strategik Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Shanon Phang.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Mia Amira Jalil