KUCHING: SACOFA menyumbang RM10,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Sarawak bagi membantu menampung kos operasi pertubuhan itu.
Sumbangan berkenaan disampaikan sempena program PERKIM Retro Zumba Aerodance 2026 yang menghimpunkan hampir 400 peserta daripada pelbagai kaum, agama dan etnik di Sarawak, bertempat di Pustaka Negeri Sarawak pada Ahad.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berharap sumbangan sektor swasta dapat terus diperkukuh bagi menyokong pelbagai inisiatif kebajikan PERKIM Sarawak, termasuk pengagihan bekalan makanan kering kepada golongan kurang berkemampuan, penyediaan beg stoma serta bantuan subsidi kos rawatan dialisis.
"Antara inisiatif yang memerlukan sokongan berterusan ialah Pusat Penjagaan Strok Laila di Bormill Estate, berhampiran AEON Mall, Jalan Keretapi, Kuching yang menyediakan perkhidmatan fisioterapi susulan kepada pesakit strok dengan kadar RM50 setiap sesi," katanya ketika berucap dalam program tersebut.
Beliau memuji penglibatan golongan wanita PERKIM Sarawak dalam menerajui penganjuran program berkenaan, sekali gus mencerminkan peranan aktif wanita dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta usaha menyantuni masyarakat.
Sementara itu, Pengerusi Pengumpulan Dana PERKIM Sarawak, Dato’ Azerina Mohd Arip berkata, dana yang dikumpul menerusi program berkenaan dan usaha lain digunakan bagi membantu memastikan pusat penjagaan itu terus beroperasi serta menyediakan perkhidmatan kepada pesakit yang memerlukan.
Menurutnya, PERKIM kini menanggung sebahagian kos operasi pusat berkenaan dan berharap lebih banyak pihak swasta tampil membantu menampung perbelanjaan termasuk gaji tiga ahli fisioterapi yang bertugas di situ.
Beliau berkata, program Retro Zumba Aerodance itu merupakan penganjuran kali kedua acara Zumba oleh PERKIM Sarawak selepas sebelum ini menganjurkan larian santai dan separuh maraton selama dua tahun berturut-turut.
Ujarnya, menerusi 24 cawangannya di seluruh Sarawak, PERKIM turut melaksanakan pelbagai program kebajikan dan pendidikan bagi membantu masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama. -EDISI UKAS