Sarawak Rancang Kawasan Hijau Dua Kali Ganda Hyde Park Di Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak merancang pembangunan kawasan hijau berskala besar di Samarahan dengan keluasan kira-kira dua kali ganda Hyde Park di London sebagai sebahagian daripada usaha mengimbangi pembangunan pesat dengan kelestarian alam sekitar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kawasan hijau yang dirancang di sekitar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu merupakan sebahagian daripada perancangan pembangunan bersepadu yang turut menghubungkan Samarahan dengan Muara Tebas dan Kuching menerusi jaringan infrastruktur termasuk Jambatan Sejingkat.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada pembangunan mampan dan pemeliharaan alam sekitar.
“Kalau Hyde Park dari sudut areanya yang kita bangunkan di belakang UNIMAS, disambung dengan Muara Tebas terus ke Kuching menerusi Jambatan Sejingkat, kita akan mempunyai kawasan hijau yang besar.
“Inilah yang kita beri penekanan berdasarkan aspirasi PCDS, khususnya aspek kelestarian dan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Samarahan 2026 di Halaman Samarahan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Premier Sarawak berkata, pembangunan kawasan hijau itu turut melengkapi perancangan jangka panjang untuk mengintegrasikan Kuching dan Samarahan sebagai kawasan pembangunan yang saling berhubung.
Katanya, peluasan jaringan infrastruktur serta pertumbuhan pembangunan di kedua-dua bahagian dijangka meningkatkan mobiliti penduduk dan memperkukuh hubungan sosioekonomi antara kawasan berkenaan.
“Bahagian Kuching akan bersambung dengan Bahagian Samarahan sehingga kita tidak lagi dapat membezakan sama ada berada di Kuching atau di Samarahan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan bahawa pembangunan mampan Sarawak perlu disokong oleh modal insan berkemahiran tinggi, khususnya dalam bidang teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan teknologi kuantum.
Jelas beliau, penguasaan bidang berkenaan penting bagi memastikan generasi muda Sarawak mampu bersaing pada peringkat antarabangsa seiring dengan perubahan landskap ekonomi global.
“Kita bukan hendak melahirkan anak Sarawak sebagai jaguh kampung. Kita mahu lahirkan anak Sarawak sebagai jaguh dunia supaya mereka dapat memajukan diri kita,” katanya.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Program SKS Bahagian Samarahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Menteri dan Timbalan Menteri Sarawak serta Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Foto: Ibanez Jeffery Guang, Hazrin Sunaini, Shahril Haqim, Asyafiee, George S.Embie & Natalie Cherinie Johnny