Empat Dekad Transformasi Pacu Samarahan Sebagai Hab Pendidikan
SAMARAHAN: Bahagian Samarahan menyaksikan transformasi pembangunan ketara sepanjang 40 tahun, daripada kawasan yang dahulunya bergantung kepada pengangkutan bot kepada hab pendidikan dan pembangunan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perubahan itu dapat dilihat melalui peningkatan aksesibiliti, pembangunan infrastruktur serta kemunculan pelbagai bangunan moden yang mengubah landskap Samarahan.
“Samarahan dahulu merupakan kawasan yang agak terpinggir. Pada tahun 1970-an, untuk datang ke Samarahan hanya menggunakan bot, tetapi hari ini keadaan sudah berubah begitu ketara dengan pembangunan dan kemudahan yang tersedia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Program Sarawakku Sayang (SKS) Samarahan 2026 yang dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Halaman Samarahan, pada Isnin.
Menurutnya, pada era 1970-an, perjalanan ke Samarahan masih bergantung kepada pengangkutan bot, namun keadaan itu berubah seiring pelaksanaan pembangunan yang menjadikan kawasan berkenaan lebih mudah diakses dari Kuching.
Dato Sri Abdul Karim berkata, Samarahan turut berkembang sebagai hab pendidikan dengan kehadiran institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta Institut Pendidikan Guru (IPG) Tun Abdul Razak.
Perkembangan itu menjadikan Samarahan antara kawasan yang semakin penting dalam sektor pendidikan, selain menyokong pertumbuhan pembangunan dan peluang kepada masyarakat setempat.
Program SKS merupakan platform kerajaan untuk mempamerkan pelbagai program kemasyarakatan, pembangunan infrastruktur serta inisiatif yang dilaksanakan sepanjang lima tahun lalu kepada masyarakat, sekali gus memberi ruang kepada rakyat mendapatkan maklumat mengenai usaha pembangunan negeri.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri-Menteri Sarawak, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak serta Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: Ibanez Jeffery Guang, Hazrin Sunaini, Shahril Haqim, Asyafiee, George S.Embie & Natalie Cherinie Johnny