Samarahan Diperkasa Sebagai Hab Teknologi, Penyelidikan Dan Kesihatan
KOTA SAMARAHAN: Pembangunan pusat penyelidikan penyakit tropika dan pusat kanser bernilai kira-kira RM1.5 bilion bakal memperkukuh kedudukan Samarahan sebagai hab kesihatan dan penyelidikan, sekali gus melengkapi peranannya sebagai pusat pendidikan serta pembangunan teknologi di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan kemudahan berkenaan merupakan sebahagian daripada perancangan strategik Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh keupayaan penyelidikan, meningkatkan akses rawatan kesihatan dan membangunkan kepakaran tempatan.
Menurut beliau, pusat penyelidikan penyakit tropika yang telah diluluskan di Samarahan bakal melibatkan kerjasama dengan institusi dari Jerman dan Australia bagi menjalankan kajian mengenai penyakit baharu serta potensi biodiversiti Sarawak dalam bidang perubatan.
“Di Samarahan kita telah meluluskan Research Centre iaitu penyelidikan penyakit tropika.
“Di sinilah pendidikannya bermula dan kita bekerjasama dengan institusi di Jerman dan Australia untuk membuat kajian mengenai penyakit baharu yang tidak kita sangka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Samarahan 2026 di Halaman Samarahan pada Isnin.
Dalam pada itu, Premier Sarawak berkata, pembangunan pusat kanser di Samarahan yang melibatkan kos keseluruhan kira-kira RM1.5 bilion, termasuk peralatan perubatan berteknologi tinggi, merupakan antara pelaburan penting kerajaan dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan negeri.
Katanya, Kerajaan Sarawak menyediakan pembiayaan pinjaman berjumlah RM1 bilion bagi menyokong pembangunan pusat berkenaan supaya rakyat mendapat akses kepada rawatan kanser yang lebih dekat tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kemudahan di luar Sarawak.
“Kalau ada orang sakit kanser, kita hendak hantar ke Kuala Lumpur, berapa kosnya? Begitu mahal. Sebab itu kita mahu membantu orang sakit kanser.
“Kita berkorban untuk membangunkan pusat kanser yang boleh digunakan oleh masyarakat di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Selain memperkukuh sektor kesihatan, beliau berkata, pembangunan Samarahan turut memberi penekanan kepada usaha melahirkan tenaga mahir dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi memenuhi keperluan ekonomi masa depan.
Menurut beliau, kewujudan institusi pengajian tinggi di Samarahan perlu dimanfaatkan untuk melahirkan lebih ramai saintis, penyelidik dan jurutera tempatan yang mampu menguasai teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan robotik.
“Pertama, kita mahu melahirkan saintis di universiti di Samarahan supaya dapat membantu bagaimana kita mengurus keadaan ekonomi sekarang yang menggunakan AI dan robot.
“Kita mesti melahirkan anak Sarawak yang pakar dalam kejuruteraan termasuk kejuruteraan robot,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan kepakaran tempatan perlu bergerak seiring dengan pelaburan dalam infrastruktur penyelidikan dan kemudahan kesihatan supaya Sarawak mampu meningkatkan daya saing dalam ekonomi berasaskan teknologi serta inovasi.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Program SKS Bahagian Samarahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Menteri dan Timbalan Menteri Sarawak serta Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Foto: Ibanez Jeffery Guang, Hazrin Sunaini, Shahril Haqim, Asyafiee, George S.Embie & Natalie Cherinie Johnny