Lapan Pelatih Kanak-Kanak PPDK Serian Bakal Melangkah Ke Alam Persekolahan
SERIAN: Seramai lapan pelatih kanak-kanak Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Serian bakal melangkah ke alam persekolahan menerusi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) pada tahun hadapan, sekali gus mencerminkan perkembangan positif hasil bimbingan dan pemulihan berterusan.
Pegawai Daerah Serian Inting @ Enting Nyami berkata, kesabaran dan komitmen berterusan semua pihak amat penting dalam membantu perkembangan golongan orang kurang upaya (OKU).
Ujarnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik dan menjaga anak-anak istimewa, selain memerlukan sokongan berterusan daripada pihak pusat pemulihan dan masyarakat.
“Usaha ini bukan sesuatu yang mudah, tetapi kita tidak seharusnya berputus asa. Teruskan memberikan semangat dan sokongan kepada mereka kerana kita sentiasa mengharapkan mereka dapat berkembang dan berjaya pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Apresiasi dan Graduasi PPDK Serian Tahun 2026 yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.
Enting turut menyarankan agar usaha menambah baik kemudahan serta keperluan pusat diberi perhatian melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk sektor swasta dan badan korporat bagi memastikan kebajikan serta perkembangan pelatih terus terpelihara.
Sementara itu, Pengerusi PPDK Serian Barian Nyaluti berkata, setiap anak mempunyai potensi tersendiri dan setiap peningkatan dalam kemahiran mengurus diri, komunikasi serta sosialisasi merupakan satu kejayaan yang wajar diraikan.
Menurutnya, kerjasama erat antara pihak PPDK dengan keluarga merupakan kunci utama keberkesanan program pemulihan, justeru ibu bapa dan penjaga diseru agar terus memberikan sokongan moral serta kasih sayang kepada anak-anak berkenaan. -EDISI UKAS