KEMAS Perkasa Pendidikan Awal, Gabung Elemen Digital Dan Tahfiz
SIMUNJAN: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) terus memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak menerusi pendekatan lebih progresif dengan menggabungkan elemen Tahfiz, teknologi digital dan Kecerdasan Buatan (AI) bagi membentuk generasi berilmu, berdisiplin serta berdaya saing.
Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad berkata, KEMAS memainkan peranan penting dalam membentuk asas sahsiah, nilai murni dan kecemerlangan akademik kanak-kanak melalui penyediaan pendidikan awal berkualiti, termasuk di kawasan luar bandar.
"KEMAS bukan sahaja menyediakan pendidikan asas kepada kanak-kanak, malah turut memperkenalkan pendekatan pendidikan yang lebih menyeluruh melalui elemen Tahfiz serta pendedahan kepada teknologi digital dan Kecerdasan Buatan (AI).
"Inisiatif ini selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID (PCDS) 2030 yang memberi penekanan terhadap pembangunan berteraskan teknologi dan inovasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Hari Apresiasi Kanak-Kanak Tabika dan Taska KEMAS Parlimen P200 Batang Sadong Tahun 2026 di Dewan Mesra Simunjan, pada Selasa.
Tambahnya, KEMAS kini terus memperkukuh peranannya dengan mengadaptasi pendekatan pendidikan yang lebih progresif menerusi penerapan elemen moden sejajar dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa.
Dalam perkembangan berkaitan, Sanuyah turut menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan KEMAS untuk mewujudkan pusat pendidikan awal bagi kanak-kanak berkeperluan khas (PPKI) di kawasan Parlimen P200 Batang Sadong.
Katanya, inisiatif tersebut merupakan satu langkah penting dalam memperluas akses pendidikan inklusif, khususnya bagi membantu kanak-kanak berkeperluan khas menguasai kemahiran asas membaca dan mengira serta meningkatkan keupayaan mereka untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran masyarakat. -EDISI UKAS