Perkhidmatan Awam Sarawak Responsif, Kesejahteraan Rakyat Diutamakan
KUCHING: Perkhidmatan Awam Sarawak terus memperkukuh pendekatan turun padang bagi mengenal pasti permasalahan rakyat serta memastikan isu yang boleh diselesaikan ditangani dengan segera.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, pendekatan proaktif itu penting bagi memastikan perkhidmatan awam kekal tangkas dan responsif terhadap keperluan masyarakat, sekali gus memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan rakyat.
“Kita mahu bekerja secara proaktif. Apa yang dapat kita selesaikan, kita selesaikan dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Prapelancaran Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Kuching di Metro City, Matang, di sini pada Selasa.
Menurutnya, penjawat awam perlu mengambil inisiatif mendekati masyarakat bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi tanpa hanya menunggu aduan dikemukakan kepada agensi berkaitan.
Katanya, interaksi secara langsung dengan masyarakat membolehkan kerajaan memahami keperluan dan aspirasi rakyat dengan lebih baik, sekali gus menjadi asas kepada usaha menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan awam.
Mengulas mengenai SKS, beliau berkata, program berkenaan menjadi wadah penting dalam mendekatkan perkhidmatan kerajaan dengan rakyat, selain menyampaikan maklumat mengenai pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan demi kesejahteraan masyarakat.
Meskipun SKS Bahagian Kuching merupakan siri ke-12 dan terakhir bagi tahun 2026, usaha mendekati rakyat menerusi pendekatan turun padang akan terus menjadi sebahagian daripada komitmen perkhidmatan awam Sarawak.
Beliau turut menekankan kepentingan mendengar sendiri suara rakyat dan memahami keutamaan mereka bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan sentiasa relevan, cekap dan berkesan.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua, Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Mursi serta ketua-ketua jabatan. -EDISI UKAS