541 Kanak-Kanak Diraikan Sempena Hari Apresiasi KEMAS Batang Sadong 2026
SIMUNJAN: Seramai 541 kanak-kanak daripada 30 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) dan lapan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) KEMAS di Parlimen P200 Batang Sadong diraikan sempena Majlis Hari Apresiasi Kanak-Kanak TABIKA/TASKA KEMAS P200 Batang Sadong Tahun 2026 di Dewan Mesra Simunjan, pada Selasa.
Pegawai KEMAS Daerah Simunjan, Maimunah Latip berkata, majlis berkenaan bukan sahaja menjadi platform menghargai perkembangan dan pencapaian kanak-kanak, malah mencerminkan komitmen KEMAS dalam menyediakan pendidikan awal yang berkualiti.
“Beberapa inisiatif baharu bakal dilaksanakan, termasuk pembukaan Tabika Tunas Istimewa (TTI) di Tabika Kampung Tengah Gedong, DUN N.26 Gedong, yang dijadualkan beroperasi pada Januari 2027 bagi menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak autisme dan berkeperluan khas,” katanya.
Tambahnya, dalam aspek pendidikan, KEMAS turut melaksanakan Kurikulum Prasekolah 2026 (KP 2026) yang merangkumi perkembangan sosioemosi, fizikal dan keselamatan diri, kerohanian, nilai dan kewarganegaraan, bahasa dan literasi, kognitif serta kreativiti dan estetika.
Pencapaian program pendidikan dan kerohanian turut membanggakan apabila seramai 288 kanak-kanak KEMAS di Parlimen Batang Sadong berjaya mencapai Tahap 4 hafalan menerusi Program Tahfiz yang melibatkan Surah Al-Buruj dan Surah Al-Insyiqaq.
Selain itu, penyertaan KEMAS dalam program Alpha Gen Talent turut membuahkan hasil apabila berjaya meraih tempat pertama peringkat zon di Sri Aman dan tempat ketiga peringkat negeri di UiTM Mukah menerusi acara Digital Hero. -EDISI UKAS