Kerjasama Antarabangsa Perkukuh Keupayaan Jabatan Muzium Sarawak
KUCHING: Jabatan Muzium Sarawak telah memeterai lapan perjanjian strategik dengan institusi dari enam negara bagi memperkukuh kerjasama, perkongsian ilmu serta pembangunan bidang muzium dan warisan di peringkat antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerjasama itu mencerminkan kesediaan Sarawak untuk terus belajar, berkongsi kepakaran, bekerjasama serta menyumbang kepada komuniti muzium dan warisan antarabangsa.
Menurutnya, rakan kerjasama berkenaan termasuk Museum and Art Gallery of the Northern Territory di Australia, Museum of Ethnography di Hungary, National Gallery Singapore, Yunnan University dan Wenzhou-Kean University di China, Musée du Quai Branly - Jacques Chirac di Paris serta Kedutaan Perancis di Malaysia.
“Perjanjian strategik akan lebih bermakna apabila menghasilkan manfaat dan pelaksanaan secara praktikal. Kerjasama tersebut dapat menyokong penyelidikan bersama, pertukaran profesional, latihan, penerbitan, inisiatif pendidikan serta pengukuhan kapasiti institusi.
“Usaha ini juga mampu membuka lebih banyak peluang untuk warisan Sarawak dikaji, ditafsir dan dihargai dalam konteks antarabangsa,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Persidangan Muzium Sarawak 2026 di Muzium Budaya Borneo, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, Persidangan Muzium Sarawak 2026 turut menyediakan platform perbincangan merangkumi lapan bidang tematik, antaranya warisan arkeologi, rekod sejarah, sistem pengetahuan orang asal, pemeliharaan warisan ketara dan tidak ketara, sejarah semula jadi, museologi, inovasi digital serta pelancongan mampan.
Persidangan itu turut menampilkan Pameran Warisan Sementara bertajuk “Donated Legacy: Building Collection” yang mempamerkan koleksi penting, barangan warisan sumbangan serta khazanah budaya yang dikembalikan, sebagai penghargaan terhadap peranan komuniti, institusi dan individu dalam memelihara warisan untuk generasi akan datang.
Ujarnya, persidangan yang turut diadakan selari dengan sambutan 135 tahun legasi Muzium Sarawak turut mengingatkan bahawa usaha pemeliharaan warisan bukan sekadar melindungi sejarah masa lalu, malah memainkan peranan dalam membentuk masa depan yang mampan serta kaya dengan budaya.
“Dengan menampilkan barangan warisan yang disumbangkan, koleksi persendirian serta khazanah yang dikembalikan, pameran ini menegaskan komitmen kita terhadap kurasi bersama dan penglibatan awam dalam pemeliharaan warisan,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak Datu Morshidi Frederick, Duta Besar Hungary ke Malaysia Dr. Sándor Sipos serta Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Anielia Siam. -EDISI UKAS