Kembara UKAS 2.0: Menyusuri Kemajuan, Mendengar Denyut Nadi Rakyat
Kembara UKAS 2.0 meneruskan komitmen Kerajaan Sarawak untuk mendekati masyarakat luar bandar menerusi pendekatan komunikasi bersemuka di samping meninjau pelaksanaan projek pembangunan serta inisiatif kerajaan yang memberi impak kepada kehidupan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman Sarawak.
Sebagai kesinambungan kepada siri kembara yang dilaksanakan pada awal 2026 di sepanjang laluan persisiran Sarawak, sesi kedua ini memberi tumpuan kepada kawasan jalan pedalaman dan jalan ‘ulu’ yang melalui Lebuhraya Pan Borneo.
Pendekatan tersebut bukan sahaja bertujuan meninjau kemajuan pembangunan, malah memperkukuh penyampaian dasar dan inisiatif kerajaan selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Menerusi penglibatan secara langsung bersama komuniti, Kembara UKAS berperanan menjadi platform komunikasi dua hala antara kerajaan dengan rakyat, sekali gus memperluas capaian maklumat yang tepat, meningkatkan kefahaman terhadap dasar kerajaan serta menangani penyebaran maklumat tidak sahih.
Seiring matlamat itu, siri pada kali ini dimulakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.1 Opar dan N.2 Tasik Biru yang memperlihatkan usaha berterusan dalam menyediakan infrastruktur, memperkukuh kemudahan masyarakat serta mengembangkan potensi ekonomi setempat.
Opar Terus Membangun, Peniaga Biawak Harap Ekonomi Sempadan Kembali Rancak
Bagi penduduk yang menetap berhampiran sempadan Sarawak-Indonesia, kemudahan jalan raya, bekalan elektrik dan capaian internet yang semakin baik bukan sekadar melambangkan kemajuan pembangunan, malah membawa perubahan kepada kehidupan seharian mereka.
Perubahan itu turut dirasai Buang Binat, seorang peniaga yang telah menetap dan mencari rezeki di kawasan sempadan Biawak sejak 2007.
Buang Binat
Sepanjang hampir dua dekad berada di kawasan berkenaan, beliau menyaksikan sendiri perkembangan pembangunan yang menjadikan kehidupan masyarakat lebih mudah berbanding sebelum ini.
Bagi Buang, penyediaan kemudahan asas merupakan antara perubahan paling ketara yang memberikan manfaat kepada penduduk, termasuk mereka yang tinggal jauh dari pusat bandar.
“Kalau dari segi pembangunan, saya amat berpuas hati. Jalan, elektrik, internet dan kemudahan utiliti lain semuanya sudah ada,” katanya ketika ditemu bual dalam program Kembara UKAS 2.0.
Namun, di sebalik rasa syukur terhadap kemajuan yang dinikmati, Buang masih menyimpan harapan agar kegiatan ekonomi di kawasan sempadan Biawak dapat kembali rancak seperti sebelum pandemik COVID-19.
Sebagai pengusaha Gerai Makan Manis-Manis Sayang dan perkhidmatan inap desa berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak, beliau amat merasai perubahan jumlah pengunjung yang memberi kesan langsung kepada pendapatan perniagaannya.
Perniagaan Sempadan Berdepan Cabaran, Peniaga Harap Kehadiran Pengunjung Meningkat
Gerai Makan Manis-Manis Sayang
Jika dahulu bilik penginapan yang diusahakannya mudah dipenuhi pelanggan, khususnya pengunjung dari Indonesia, keadaan kini jauh berbeza.
Menurut Buang, pengurangan jumlah pengunjung selepas pandemik COVID-19 menyebabkan aktiviti perniagaan di kawasan itu semakin perlahan.
“Kalau dahulu senang hendak penuh, sekarang susah sedikit. Sambutan semakin kurang kerana pengunjung pun semakin berkurangan,” katanya.
Keadaan tersebut bukan sahaja menjejaskan perniagaannya, malah turut dirasai peniaga lain di kawasan Biawak yang mempunyai kira-kira tujuh premis perniagaan, termasuk kedai makanan dan penginapan.
Bagi peniaga kecil seperti Buang, kehadiran pengunjung rentas sempadan amat penting kerana menjadi antara sumber utama yang menyokong kelangsungan perniagaan mereka.
Walaupun kemudahan infrastruktur semakin baik, beliau berharap usaha dapat dilaksanakan bagi menggalakkan lebih ramai pengunjung kembali ke kawasan berkenaan.
Harapan itu bukan semata-mata untuk meningkatkan pendapatan, tetapi juga memastikan kawasan sempadan Biawak terus berkembang sebagai pusat kegiatan ekonomi yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Pengalaman Buang memperlihatkan bahawa pembangunan fizikal perlu bergerak seiring dengan usaha memperkukuh kegiatan ekonomi agar manfaat kemajuan dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat.
Jalan Pertanian Mudahkan Penduduk Opar Cari Rezeki
Di kawasan lain dalam DUN Opar, pembangunan infrastruktur turut membawa perubahan kepada masyarakat yang bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber pendapatan.
Bagi Pemanca Bidayuh Daerah Lundu, Allen Manium, pembinaan jalan pertanian antara kemudahan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan penduduk luar bandar.
Menurutnya, sebelum kemudahan tersebut disediakan, akses ke kawasan pertanian menjadi antara cabaran yang perlu dihadapi penduduk dalam mengusahakan tanah masing-masing.
Kini, penyediaan jalan pertanian memudahkan pergerakan penduduk ke kebun dan kawasan tanaman, sekali gus membantu meningkatkan produktiviti pertanian.
Pemanca Bidayuh Daerah Lundu, Allen Manium
“Projek seperti pembinaan jalan pertanian amat membantu penduduk kerana memudahkan mereka mengakses kawasan tanah masing-masing dan mengusahakan tanaman dengan lebih produktif,” katanya.
Kemudahan itu memberi manfaat khususnya kepada penduduk yang mengusahakan tanaman kelapa sawit dan tanaman kontan.
Allen berkata, pembangunan yang dilaksanakan sepanjang lima tahun kebelakangan ini memperlihatkan perubahan positif terhadap kemudahan infrastruktur dan kegiatan ekonomi masyarakat setempat.
Beliau yang juga bekas Timbalan Pengarah Yayasan Sarawak dan bekas pegawai kanan pendidikan negeri berpandangan bahawa pembangunan luar bandar perlu terus memberikan keutamaan kepada keperluan sebenar penduduk.
Baginya, kemajuan bukan hanya diukur melalui pembinaan kemudahan baharu, tetapi sejauh mana kemudahan tersebut membantu masyarakat meningkatkan pendapatan dan memperbaiki kehidupan.
Beliau optimis pembangunan berterusan mampu merapatkan jurang kemajuan antara Opar dengan kawasan lain menjelang 2030.
187 Projek Pembangunan Bawa Perubahan Kepada Masyarakat Opar
Pengalaman yang dikongsikan Buang dan Allen mencerminkan sebahagian daripada perubahan yang dibawa melalui pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di kawasan DUN N.1 Opar.
Setakat September 2026, sebanyak 187 projek pembangunan dengan nilai keseluruhan RM149.98 juta direkodkan di kawasan berkenaan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 138 projek atau 73.80 peratus melibatkan sektor infrastruktur bernilai RM121.73 juta, manakala 49 projek sektor sosial bernilai RM28.25 juta.
Tumpuan terhadap pembangunan infrastruktur memberi penekanan kepada keperluan asas penduduk, khususnya kemudahan jalan raya, bekalan air dan prasarana yang menyokong kehidupan harian masyarakat.
Sebanyak 69 projek pembinaan dan penaiktarafan jalan dengan nilai RM63.95 juta direkodkan, menjadikannya kategori pembangunan terbesar dari segi jumlah peruntukan.
Selain itu, sebanyak 53 projek bekalan air bernilai RM22.24 juta turut direkodkan bagi memperkukuh kemudahan asas penduduk.
Bagi menyokong kegiatan ekonomi luar bandar, tujuh projek infrastruktur pertanian dengan nilai RM20.05 juta turut diberikan perhatian.
Kemudahan masyarakat pula diperkukuh menerusi 37 projek pembinaan dan penaiktarafan dewan bernilai RM14.82 juta.
Daripada keseluruhan projek yang direkodkan, sebanyak 42 projek telah siap, 72 projek sedang dilaksanakan, 66 projek masih dalam perancangan dan tujuh projek belum bermula.
Pelaksanaan projek berkenaan memperlihatkan usaha memenuhi keperluan masyarakat secara berperingkat, daripada penyediaan kemudahan asas kepada pembangunan infrastruktur yang menyokong kegiatan ekonomi penduduk.
Bagi masyarakat seperti Buang dan Allen, manfaat pembangunan paling bermakna apabila kemudahan yang disediakan dapat membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih selesa serta membuka peluang untuk meningkatkan pendapatan.
Tasik Biru: Infrastruktur Dan Pelancongan Buka Peluang Ekonomi Komuniti
Sementara itu, pembangunan di kawasan DUN N.2 Tasik Biru turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui penyediaan infrastruktur, kemudahan komuniti dan pembangunan sektor pelancongan.
Bagi kawasan yang mempunyai kekayaan alam semula jadi serta warisan tempatan seperti Bau, pembangunan pelancongan berpotensi membuka peluang ekonomi kepada masyarakat, khususnya melalui aktiviti perniagaan dan perkhidmatan.
Menerusi projek yang diselaraskan oleh Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), sebanyak 15 projek bernilai keseluruhan RM90.85 juta dikenal pasti bagi kawasan Tasik Biru.
Antara projek utama ialah pembangunan kemudahan pelancongan di Gunung Bronang, Singai yang melibatkan kos RM37 juta.
Pembangunan tersebut berpotensi memperkukuh daya tarikan Bau sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi dan warisan tempatan.
Selain meningkatkan kemudahan kepada pengunjung, pembangunan sektor pelancongan juga berpotensi membuka ruang kepada penduduk untuk menceburi aktiviti ekonomi seperti perniagaan makanan, penginapan dan perkhidmatan berkaitan pelancongan.
Potensi ini penting dalam memastikan pembangunan pelancongan bukan sekadar meningkatkan daya tarikan sesuatu destinasi, tetapi turut memberikan manfaat ekonomi kepada komuniti setempat.
Pada masa sama, penyediaan infrastruktur yang lebih baik menjadi asas penting untuk menyokong pergerakan penduduk serta perkembangan kegiatan ekonomi di kawasan berkenaan.
102 Projek RTP Siap, Kemudahan Harian Penduduk Dipertingkat
Selain pembangunan pelancongan, masyarakat Tasik Biru turut menerima manfaat melalui pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang memberi tumpuan kepada keperluan infrastruktur dan kemudahan komuniti.
Bagi tempoh 2020 hingga 2026, sebanyak 128 projek RTP dengan peruntukan kumulatif RM16.237 juta direkodkan di kawasan berkenaan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 102 projek atau 79.7 peratus telah siap, manakala 26 projek lagi atau 20.3 peratus masih dalam perancangan.
Antara projek yang telah disiapkan termasuk pembinaan jambatan baharu Belian ke Sungai Kana yang meningkatkan kemudahan perhubungan masyarakat setempat.
Pembinaan dewan serbaguna di Taman Mutiara, Jambusan pula menyediakan kemudahan untuk pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan serta program komuniti.
Turut dilaksanakan ialah penaiktarafan Jalan Botas-Baki di Kampung Tanjong Bowang dan pembinaan jalan ke Tembawang Serasot.
Bagi penduduk luar bandar, kemudahan seperti jalan raya, jambatan dan dewan masyarakat mempunyai kepentingan tersendiri kerana berkait rapat dengan urusan harian, pergerakan serta aktiviti sosial mereka.
Jaringan jalan yang lebih baik bukan sahaja memudahkan penduduk berulang-alik, malah berpotensi memperluas akses kepada peluang ekonomi dan perkhidmatan.
Kemudahan komuniti pula menyediakan ruang kepada masyarakat untuk berkumpul, melaksanakan aktiviti bersama dan memperkukuh hubungan sosial.
Pelaksanaan projek berskala komuniti ini memperlihatkan bahawa pembangunan yang memenuhi keperluan harian rakyat turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Suara Rakyat Cerminan Keberkesanan Pembangunan
Perjalanan Kembara UKAS 2.0 di Opar dan Tasik Biru memperlihatkan bahawa setiap kawasan mempunyai keperluan serta harapan pembangunan yang berbeza.
Di Opar, peningkatan kemudahan asas dan jalan pertanian telah membantu memudahkan kehidupan masyarakat, namun pada masa sama, peniaga di kawasan sempadan Biawak masih mengharapkan kegiatan ekonomi kembali rancak.
Di Tasik Biru pula, pembangunan infrastruktur, kemudahan komuniti dan sektor pelancongan berpotensi memperluas peluang ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan penduduk.
Pengalaman dan pandangan masyarakat yang ditemui membuktikan bahawa pembangunan bukan sekadar berkaitan jumlah peruntukan atau bilangan projek, tetapi turut melibatkan perubahan yang dirasai dalam kehidupan seharian.
Bagi seorang peniaga, pembangunan bermakna apabila perniagaan mampu terus bertahan dan berkembang. Bagi petani pula, kemudahan jalan yang baik membolehkan mereka mengusahakan tanah dengan lebih produktif.
Sementara itu, bagi masyarakat secara keseluruhannya, kemudahan asas dan prasarana komuniti yang lebih baik menjadi antara faktor penting dalam meningkatkan keselesaan serta kesejahteraan hidup.
Sehubungan itu, pelaksanaan pembangunan yang mengambil kira keperluan sebenar masyarakat perlu terus diperkukuh agar setiap projek memberikan manfaat berpanjangan.
Menerusi pendekatan turun padang dan komunikasi bersemuka, Kembara UKAS 2.0 bukan sahaja mengetengahkan perkembangan pembangunan, malah memberi ruang kepada rakyat untuk berkongsi pengalaman, pandangan serta harapan mereka.
Suara masyarakat inilah yang menjadi cerminan penting dalam memastikan agenda pembangunan Sarawak terus bergerak ke arah kemajuan yang lebih inklusif, seimbang dan mampan, selaras dengan aspirasi PCDS 2030.-UKAS