Sumbangan Datuk Idris Kepada Muara Tuang Amat Dihargai
KUCHING: Sumbangan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Datuk Idris Buang kepada komuniti Muara Tuang terutamanya pembangunan yang dilaksanakan sepanjang tempoh perkhidmatannya amat dihargai.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Datuk Idris merupakan antara pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab serta memperjuangkan kepentingan parti.
“Secara peribadi, saya berharap beliau dapat mengakhiri perjalanan dalam bidang ini dengan baik dan mudah-mudahan beliau masih dapat bersama-sama membantu kita dari belakang dalam kapasiti yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Muzium Sarawak 2026 di Muzium Budaya Borneo, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian susulan keputusan Datuk Idris tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 akan datang.
Datuk Idris yang juga Timbalan Speaker DUN Sarawak mengumumkan tidak akan menawarkan diri untuk bertanding semula bagi kerusi N.16 Muara Tuang pada 23 November lalu, serta menyerahkan kepada kebijaksanaan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk menentukan calon pengganti.
Beliau sebelum ini memenangi kerusi Muara Tuang pada PRN 2016 dan mempertahankannya pada PRN 2021.
Mengulas mengenai kemungkinan calon baharu, Dato Sri Abdul Karim berkata, pemilihan calon oleh Premier Sarawak lazimnya dibuat berdasarkan penilaian mendalam terhadap kesesuaian individu bagi kawasan yang bakal ditandingi.
Ujarnya, aspek representasi wanita turut diberi perhatian susulan permintaan supaya lebih ramai calon wanita diketengahkan, khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar.
“Namun, kita belum mengetahui kawasan mana yang akan diberikan kepada mereka dan lazimnya calon wanita bertanding di kawasan bandar atau pinggir bandar. Kita tidak tahu, mungkin mereka akan ditempatkan di situ,” jelas beliau. -EDISI UKAS