Lokasi Bukan Penghalang Kecemerlangan Murid Luar Bandar
BALINGIAN: Bersekolah di kawasan luar bandar bukan penghalang kepada kecemerlangan pendidikan murid jika diberikan peluang, bimbingan dan sokongan sewajarnya.
Ini dibuktikan menerusi pencapaian 74.2 peratus murid SJKC Chung Hua Balingian yang mencapai sekurang-kurangnya Tahap Penguasaan 3 (TP3) dalam semua mata pelajaran.
Dr Abdul Yakub Arbi berkata, pencapaian tersebut mencerminkan potensi murid di kawasan luar bandar untuk terus maju dalam bidang pendidikan, termasuk menyertai pertandingan sehingga ke peringkat kebangsaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pelajar dan Graduasi Murid Tahun Enam serta Prasekolah 2026 di SJKC Chung Hua Balingian, pada Isnin.
Menurutnya, pendidikan merupakan asas penting pembangunan masyarakat dan usaha meningkatkan pencapaian murid memerlukan kerjasama berterusan antara pihak sekolah, ibu bapa, komuniti serta agensi berkaitan.
Dalam usaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, beliau turut menyarankan agar cadangan menaik taraf gelanggang sedia ada serta membina gelanggang serbaguna berbumbung di sekolah berkenaan pada 2027 diberikan perhatian.
Katanya, kemudahan tersebut dapat menyokong pelaksanaan aktiviti pendidikan jasmani dan kokurikulum, selain menyediakan ruang yang lebih selesa kepada murid untuk menjalankan pelbagai aktiviti sekolah.
Beliau turut menyatakan kesediaan membantu pihak sekolah mengemukakan permohonan kepada pihak berkaitan bagi mendapatkan sokongan dana untuk merealisasikan cadangan pembangunan tersebut.
Menyentuh pembangunan pendidikan di kawasan Balingian, Abdul Yakub memaklumkan projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balingian masih dalam proses perancangan semula selepas pelaksanaan projek terdahulu ditamatkan.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada Jabatan Pendidikan, permohonan tambahan bagi mencukupkan peruntukan sebanyak RM60 juta sedang dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi bagi membolehkan projek berkenaan diteruskan.
Beliau berharap usaha itu dapat diselesaikan agar pembinaan SMK Balingian dapat direalisasikan dalam masa terdekat demi memenuhi keperluan pendidikan anak-anak di kawasan berkenaan.
Selain itu, beliau turut mengingatkan murid supaya terus berusaha mencapai kejayaan, menghormati ibu bapa dan guru serta menjadikan disiplin, akhlak dan kesungguhan sebagai asas membina masa depan.-EDISI UKAS