Kemudahan Sanitasi Di SJK (C) Su Lai Dinaik Taraf, RM100,00 Diperuntuk
SIBU: Isu kebocoran dan kerosakan kemudahan sanitasi di SJK (C) Su Lai berjaya ditangani menerusi projek naik taraf empat tandas bernilai RM100,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), sekali gus menyediakan kemudahan lebih selesa kepada warga sekolah.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, projek yang telah siap sepenuhnya itu melibatkan dua tandas murid perempuan dan dua tandas murid lelaki.
“Saya berasa amat gembira kerana berpeluang mengunjungi SJK (C) Su Lai di kawasan saya pada pagi ini bagi melihat sendiri projek menaik taraf kemudahan tandas sekolah yang telah siap dilaksanakan,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau projek tersebut di SJK (C) Su Lai, pada Selasa.
Beliau berkata, keperluan menaik taraf kemudahan berkenaan dikenal pasti ketika lawatan terdahulu apabila keadaan tandas didapati kurang memuaskan, termasuk masalah kebocoran yang menyebabkan air dari tandas tingkat atas mengalir ke tingkat bawah.
Selain itu, kerosakan pada beberapa kemudahan asas seperti sistem paip, saluran keluar air dan kelengkapan sanitasi turut memerlukan perhatian bagi memastikan tandas dapat digunakan dengan baik.
Pelaksanaan projek itu membolehkan keempat-empat tandas berkenaan digunakan dengan lebih baik, sekali gus memperbaiki kemudahan sanitasi serta meningkatkan keselesaan murid sepanjang berada di sekolah.
Menurutnya, meskipun sekolah merupakan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak terus memainkan peranan membantu meningkatkan kemudahan dan kebajikan sekolah menerusi peruntukan pembangunan.
Katanya, kemudahan asas sekolah yang sempurna perlu terus diberi perhatian bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang selesa dan kondusif, memandangkan murid merupakan generasi masa depan yang bakal meneruskan pembangunan negeri.-EDISI UKAS