UKAS Perkenal ‘Media On Wheel’, Perluas Capaian Maklumat Kerajaan Kepada Rakyat
KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) memperkenalkan pendekatan baharu dalam penyampaian maklumat rasmi Kerajaan Sarawak menerusi dua unit kenderaan ‘Media On Wheel’ (MeOW) yang berfungsi sebagai platform komunikasi dan penyiaran bergerak.
Inisiatif tersebut bertujuan memperluas capaian maklumat mengenai dasar, program dan inisiatif kerajaan serta kempen kesedaran awam secara langsung kepada masyarakat di seluruh Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol meluangkan masa meninjau persiapan menjelang perasmian kemudahan berkenaan di Metrocity, Matang, pada Selasa.
MeOW dijadual dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Kuching pada Rabu.
Menerusi pendekatan komunikasi bergerak itu, UKAS dapat membawa maklumat rasmi kerajaan secara langsung ke lokasi tumpuan awam dan kawasan penempatan masyarakat.
Penggunaan MeOW turut melengkapi saluran komunikasi sedia ada UKAS dalam memperluas akses masyarakat kepada maklumat rasmi kerajaan, termasuk di kawasan luar bandar.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua, Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan dan Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali. –EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: George S.Embie