Transformasi Pembangunan Samalaju Pacu Pertumbuhan Penduduk
BINTULU: Pembangunan pesat sektor perindustrian, infrastruktur dan pelabuhan di kawasan Samalaju terus membawa perubahan ketara kepada landskap pembangunan kawasan itu, sekali gus menyumbang kepada pertambahan penduduk serta peluang pekerjaan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Pelabuhan), Datuk Majang Renggi berkata, pelbagai inisiatif pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak mencerminkan komitmen berterusan untuk memperkukuh kemajuan ekonomi dan infrastruktur di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, pengambilalihan Pelabuhan Bintulu oleh Kerajaan Sarawak serta kelulusan pembangunan zon pelabuhan (pre-port zone) oleh Kementerian Kewangan merupakan antara perkembangan penting yang dijangka membawa manfaat besar kepada Bintulu.
Menurutnya, usaha memperkukuh sektor pelabuhan turut merangkumi perancangan untuk menyatukan semua pelabuhan di Sarawak di bawah satu entiti bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dan menyokong pertumbuhan industri negeri.
“Semua pelabuhan Sarawak akan kita gabungkan di bawah satu entiti. Ini merupakan antara usaha untuk memajukan sektor pelabuhan dan industri di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Lawatan Tapak Blok C Rumah Sating dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Gabungan Parti Sarawak (GPS) N.70 Samalaju di Rumah Sating Bundan, KM67, Labang Atas, Jalan Bintulu-Miri pada Isnin.
Datuk Majang berkata, pembangunan infrastruktur jalan raya turut menjadi keutamaan, khususnya usaha menaik taraf jalan tanah kepada jalan berbatu serta membaiki laluan sedia ada yang mengalami kerosakan bagi meningkatkan kemudahan perhubungan penduduk.
Katanya, pembangunan yang semakin rancak di Samalaju turut menyumbang kepada peningkatan jumlah penduduk, terutama kemasukan tenaga kerja dari kawasan lain yang berhijrah ke situ untuk mendapatkan peluang pekerjaan.
Beliau berkata, jumlah pengundi di kawasan berkenaan meningkat daripada sekitar 13,000 pada 2016 kepada kira-kira 34,000 pada tahun ini, sekali gus menggambarkan perubahan demografi yang berlaku seiring perkembangan pembangunan.
“Pertambahan penduduk yang datang dari tempat-tempat lain dan berhijrah ke kawasan ini disebabkan pembangunan serta banyak peluang pekerjaan di sini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat setempat, termasuk ketua kaum dan penduduk, supaya terus memberikan sokongan terhadap usaha pembangunan yang dilaksanakan serta memainkan peranan dalam menentukan masa depan kawasan berkenaan melalui tanggungjawab sebagai pengundi.
Beliau turut menekankan kepentingan perpaduan masyarakat bagi memastikan pembangunan yang dirancang dapat diteruskan demi manfaat penduduk dan generasi akan datang.-EDISI UKAS