Lebih 10,000 Pengunjung Meriahkan Konsert Rakyat SKS Kuching
KUCHING: Alunan muzik, persembahan bertenaga barisan artis dan kemeriahan lebih 10,000 pengunjung mewarnai Konsert Rakyat sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Kuching pada Selasa.
Suasana penuh warna-warni itu menyatukan masyarakat menerusi hiburan yang menampilkan gabungan bakat seni tempatan dan penyanyi terkenal tanah air, Dato’ Jamal Abdillah.
Tirai konsert dibuka pada pukul 8 malam dengan persembahan Kumpulan Tarian Selian, Majlis Seni Sarawak sebelum pentas dimeriahkan dengan persembahan nyanyian Fir Affandi, Yadee & Meg, Chien Ng, Adam Yaman, Ewan Dasri, Claudia Geres serta Bob Yusop.
Turut bersama-sama menikmati kemeriahan konsert ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri, Dato Baduyah Bujang.
Melengkapkan kemeriahan malam itu, kesemua artis dijadualkan bergabung di atas pentas menerusi persembahan penutup dengan lagu ikonik Sarawak, ‘Bekikis Bulu Betis’, sebelum konsert berakhir sekitar pukul 11.10 malam.
Bukan sekadar hiburan, debaran cabutan bertuah turut menambah seri konsert dengan pelbagai hadiah menarik ditawarkan, termasuk jongkong emas Habib, penginapan di hotel terkemuka di Kuching, motosikal Modenas Kriss, Honda dan motosikal elektrik (EV), televisyen serta tiket penerbangan percuma.
Keterujaan pengunjung dijangka berterusan pada Rabu apabila sebuah kenderaan e.MAS 7 PHEV Prime menanti pemenang bertuah menerusi cabutan hadiah utama, selain pelbagai hadiah menarik lain.
Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua, Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi, Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak, Sapiah Daud serta Ketua-ketua Jabatan.-EDISI UKAS