Musibah Kebakaran Rumah Panjang Matop, 28 Keluarga Terima Sumbangan
BETONG: Dalam usaha membina semula kehidupan selepas kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran pada 14 November lalu, 28 keluarga Rumah Panjang Anyie Matop, Paku, Spaoh menerima sumbangan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung.
Ia hasil inisiatif Majlis Kerja Tertinggi Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak yang mengadakan kutipan secara sukarela dalam kalangan ahli-ahli sebagai tanda keprihatinan, solidariti dan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat yang ditimpa musibah.
Sumbangan berkenaan diserahkan oleh wakil majlis tersebut, Jonathan Dayan kepada Tuai Rumah Anyie Rajit dalam satu majlis ringkas di Pondok Serbaguna Rumah Panjang Matop, di sini, pada Selasa.
Menurut kenyataan media majlis berkenaan, sumbangan tersebut diharap dapat membantu keluarga terjejas memenuhi keperluan harian, khususnya sepanjang tempoh pemulihan selepas kejadian kebakaran.
Di sebalik musibah yang melanda, sokongan dan bantuan daripada pelbagai pihak amat bermakna buat keluarga terbabit dalam mengharungi cabaran membina semula kehidupan mereka.
Usaha kebajikan itu turut mencerminkan nilai kemanusiaan, semangat kebersamaan dan budaya saling membantu dalam kalangan masyarakat ketika berdepan musibah.
Turut hadir, Temenggung Iban Bahagian Betong, Temenggung Richard Mulok.-EDISI UKAS