ASEPP 2026 Perkukuh Budaya Keselamatan Di Tempat Kerja
KUCHING: Program Astana Safety and Emergency Preparedness Programme (ASEPP) 2026 diharap menjadi permulaan kepada amalan keselamatan yang berterusan, bukan sahaja di Astana Negeri Sarawak, tetapi juga di tempat kerja lain di seluruh negeri ini.
Isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkata, setiap warga kerja Astana perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas untuk menghadapi situasi kecemasan, termasuk mengetahui laluan keluar yang selamat, tempat berkumpul dan peranan masing-masing sekiranya berlaku kecemasan yang memerlukan pengosongan bangunan.
Berbekalkan pengalaman selama 22 tahun berkhidmat sebagai pramugari dalam industri penerbangan, beliau menekankan kepentingan latihan keselamatan secara berterusan menerusi latihan penyegaran dan penilaian berkala bagi memastikan setiap warga kerja memahami prosedur serta tugas masing-masing.
“Saya bukan mahu semua orang menjadi pakar keselamatan. Saya cuma mahu setiap orang tahu apa yang perlu dilakukan apabila berlaku kecemasan,” katanya ketika berucap menyempurnakan perasmian program berkenaan di Astana Negeri Sarawak, pada Rabu.
Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah turut berharap, latihan keselamatan tidak terhenti selepas program ASEPP 2026 berakhir, sebaliknya dilaksanakan secara berkala dan diperluaskan ke semua pejabat di seluruh Sarawak.
Menurutnya, setiap tempat kerja perlu mempunyai kakitangan yang tahu cara mengosongkan bangunan dengan selamat, memahami laluan kecemasan dan mempunyai pengetahuan asas pertolongan cemas.
Selain keselamatan bangunan, beliau turut menekankan kepentingan pengetahuan mengenai resusitasi kardiopulmonari (CPR) serta penggunaan alat Automated External Defibrillator (AED), khususnya bagi kakitangan yang telah dilatih untuk memberikan bantuan awal sementara menunggu ketibaan petugas perubatan.
“Apa yang kita pelajari hari ini mungkin dapat membantu menyelamatkan nyawa seseorang pada suatu hari nanti,” tambahnya lagi.
Justeru, beliau menegaskan bahawa usaha membudayakan keselamatan perlu diteruskan bagi mewujudkan persekitaran Astana yang lebih selamat untuk Yang di-Pertua Negeri Sarawak, warga kerja serta semua tetamu dan pengunjung.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Datuk Haji Syed Hamzah Syed Paie, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Azlee Ayub, Pakar Perubatan Kecemasan, Hospital Umum Sarawak Dr Zyneelia Husain, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak Jamri Masran serta wakil Pengerusi St. John Ambulance Dr. Shehab Phung Chee Wei. -EDISI UKAS