Institusi GLAM Perlu Perkukuh Kredibiliti Ilmu Dalam Era AI
KUCHING: Institusi galeri, perpustakaan, arkib dan muzium (GLAM) perlu memperkukuh peranan sebagai sumber ilmu yang sahih dan dipercayai bagi menangani cabaran penyebaran maklumat palsu serta kandungan yang dijana menerusi kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, perkembangan teknologi AI yang semakin pesat menuntut institusi berkenaan beralih daripada peranan tradisional mengurus koleksi kepada penyertaan lebih aktif dalam membangunkan ekosistem ilmu yang boleh dipercayai, mudah diakses dan inklusif.
“Institusi GLAM perlu berkembang melangkaui pengurusan koleksi secara konvensional ke arah menjadi peserta aktif dalam membangunkan ekosistem ilmu yang berteraskan kepercayaan, mudah diakses dan inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Premier Sarawak pada majlis perasmian International Knowledge Conference (IKC) 2026 di Waterfront Hotel pada Selasa.
Mengulas lanjut, katanya lima keutamaan perlu diberikan perhatian oleh institusi GLAM dalam menghadapi perkembangan AI, iaitu memperkukuh kesahihan, asal usul dan akauntabiliti maklumat, memastikan manusia kekal sebagai fokus penggunaan AI, meningkatkan literasi AI dan maklumat, menjamin transformasi digital yang inklusif serta melabur dalam pembangunan modal insan.
Katanya, kemajuan AI dan pendigitalan turut membuka peluang kepada Sarawak untuk meningkatkan produktiviti, menambah baik penyampaian perkhidmatan awam serta mewujudkan aktiviti ekonomi baharu dalam pelbagai sektor.
Bagaimanapun tegasnya, inovasi teknologi perlu diterjemahkan kepada manfaat nyata dalam bidang pendidikan, kesihatan, penyertaan ekonomi dan pentadbiran awam, selaras dengan aspirasi Sarawak menjadi masyarakat berpendapatan tinggi, maju dan inklusif menjelang 2030.
Beliau turut menegaskan bahawa masa depan ilmu bukan ditentukan oleh teknologi semata-mata, sebaliknya bergantung kepada nilai, prinsip dan tanggungjawab yang membimbing pembangunan serta penggunaannya.
Sehubungan itu, kerjasama antara kerajaan, institusi GLAM, universiti, sekolah, syarikat teknologi dan komuniti amat penting bagi memastikan ekosistem ilmu global terus diperkukuh, tambahnya.
IKC 2026 yang bertemakan ‘Trusted Knowledge in the Age of AI: The Evolving Role of GLAM Institutions’ menghimpunkan pakar, pengamal profesional dan rakan institusi bagi membincangkan perubahan serta masa depan pengurusan ilmu dalam era kecerdasan buatan.-EDISI UKAS