Sultan Selangor Mulakan Kunjungan Rasmi Tiga Hari Di Sarawak
KUCHING: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin tiba di Kuching pada Rabu bagi memulakan kunjungan rasmi selama tiga hari di Sarawak.
Ketibaan pasangan Diraja itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada jam 10.35 pagi tadi disambut oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datu Moshidi Fredrick.
Majlis sambutan turut disusuli dengan bacaan doa selamat bagi memohon kesejahteraan sepanjang keberadaan pasangan Diraja itu di Sarawak.
Selesai majlis sambutan, Baginda berdua berkenan meluangkan masa mengadakan pertemuan bersama Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah sebelum berangkat meninggalkan lapangan terbang.
Pada sebelah petang nanti, pasangan Diraja itu dijadual menghadiri Festival Kraf Borneo Sarawak 2026 di Tebingan Sungai Kuching.
Baginda berdua dijadual berangkat pulang ke Selangor pada 27 November ini. - EDISI UKAS