37,340 Pelajar Zon Utara Bantu Kumpul 97.7 Tan Bahan Kitar Semula
MIRI: Sebanyak 97.7 tan bahan kitar semula berjaya dikumpulkan menerusi Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah Zon Utara 2026, membabitkan penyertaan 37,340 pelajar daripada 55 sekolah sepanjang enam bulan pelaksanaan.
Pencapaian itu menandakan peluasan pendidikan alam sekitar ke Zon Utara Sarawak, dengan penglibatan sekolah di bawah kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Miri, Lembaga Kemajuan Bintulu, Majlis Daerah Subis dan Majlis Daerah Marudi.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, peluasan program ke Zon Utara tahun ini merupakan pencapaian penting dalam memperluas pendidikan alam sekitar serta penglibatan komuniti di seluruh negeri.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil pada majlis penyampaian hadiah pertandingan itu, di sini pada Selasa.
Menurut beliau, kejayaan program tidak hanya diukur berdasarkan jumlah bahan kitar semula yang dikumpulkan, tetapi turut melibatkan usaha membentuk tingkah laku positif dalam kalangan generasi muda melalui amalan mengurangkan, menggunakan semula dan mengitar semula (3R).
Pertandingan yang berlangsung dari 27 April hingga 27 Oktober 2026 itu disertai 42 sekolah rendah dan 13 sekolah menengah.
Datuk Amar Dr Sim berkata, sekolah mempunyai peranan penting dalam membentuk generasi yang mempunyai kesedaran alam sekitar, disiplin dan tanggungjawab sosial.
Justeru, pelajar digalakkan membawa amalan kitar semula dari sekolah ke rumah dengan menggalakkan keluarga mengasingkan sisa, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan mengamalkan pengurusan sisa secara bertanggungjawab.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak turut memperkukuh pendekatan pengurusan sisa mampan dengan memberi penekanan kepada pengurangan sisa, pengasingan di punca, kitar semula dan pemulihan sumber, berbanding hanya bergantung kepada kaedah pengumpulan serta pelupusan konvensional.
Menurutnya, kelulusan Rang Undang-Undang Pengurusan Sumber dan Sisa Mampan 2025 mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus alam sekitar serta memajukan usaha menjadikan sisa sebagai sumber ekonomi.
Turut hadir, Setiausaha Tetap MPHLG, Datu Elizabeth Loh, Timbalan Datuk Bandar Miri, Ariffin Mohamad, wakil NREB Sarawak, Affycilla Adries dan wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Dzulfikhar Awang. -EDISI UKAS