UNIONS Integrity 360 Perkukuh Budaya Integriti, Semangat One Team SCS
KUCHING: Pembudayaan integriti dalam kalangan warga Perkhidmatan Awam Sarawak terus diperkasa menerusi pendekatan holistik yang menggabungkan aspek kesejahteraan diri, kecergasan fizikal dan semangat kerja berpasukan.
Sehubungan itu, Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Jabatan Premier Sarawak menganjurkan UNIONS Integrity 360: Program Pemantapan Integriti, Kesihatan dan Semangat One Team SCS di PIKABOL, Pending, di sini pada Ahad.
Program berkenaan merupakan kesinambungan daripada penganjuran UNIONS Integrity 360 sebelum ini yang bertemakan Pemantapan Integriti, Tatakerja dan Kesejahteraan Keluarga.
Penganjuran kali ini menghimpunkan warga UNIONS bersama ahli keluarga menerusi pelbagai pengisian termasuk ceramah integriti dan kesihatan, aktiviti fizikal serta pertandingan pickleball bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama dalam kalangan warga organisasi.
Turut memeriahkan program tersebut ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Datuk Dr Juanda Jaya bersama isteri, Datin Shanti Achmad Ramli serta Pengarah UNIONS, Wan Mohamad Wan Drahman yang menyertai perlawanan khas kategori VIP.
Dalam pada itu, pertandingan pickleball menyaksikan Kumpulan Belacan muncul juara keseluruhan, diikuti Kumpulan Midin di tempat kedua, Kumpulan Rusip di tempat ketiga dan Kumpulan Dabai di tempat keempat.
Selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat, program tersebut turut menekankan kepentingan hubungan kerja yang baik, komunikasi berkesan dan semangat kebersamaan sebagai elemen penting dalam membudayakan integriti di tempat kerja.
Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen UNIONS dalam membentuk warga perkhidmatan awam yang bukan sahaja berintegriti dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab, malah mengutamakan kesejahteraan diri serta menghayati semangat kerja berpasukan, sejajar dengan aspirasi One Team SCS. –EDISI UKAS