TYT Sarawak & Isteri Sambut Keberangkatan Tiba Sultan Selangor
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menyambut keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, di Terminal Orang Kenamaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), pada Rabu.
Keberangkatan tiba pasangan diraja itu pada 10.35 pagi adalah sempena lawatan rasmi baginda berdua ke Sarawak selama tiga hari, bermula hari ini hingga 27 November.
Sambutan tersebut disusuli dengan bacaan doa selamat sebelum Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah berkenan mengadakan pertemuan bersama pasangan Diraja berkenaan.
Pertemuan itu mencerminkan hubungan silaturahim yang erat antara institusi Yang di-Pertua Negeri Sarawak dengan institusi diraja Selangor, selain memperkukuh jalinan persahabatan yang sekian lama terjalin antara kedua-dua pihak.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau menzahirkan harapan agar keberangkatan Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor ke Sarawak dapat terus memperkukuh hubungan baik antara Sarawak dengan Selangor, di samping membuka ruang kepada jalinan kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai bidang demi kepentingan, kemakmuran dan kesejahteraan bersama.
Beliau turut mengalu-alukan keberangkatan pasangan Diraja itu ke Bumi Kenyalang serta mendoakan agar segala urusan sepanjang tempoh lawatan baginda berdua berjalan lancar.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan juga berharap agar keindahan alam semula jadi, keunikan warisan budaya serta keramahan masyarakat Sarawak dapat meninggalkan kenangan indah dan bermakna buat pasangan Diraja itu sepanjang keberadaan mereka di negeri ini.
Antara pengisian lawatan pasangan diraja Selangor itu ialah menghadiri Festival Kraf Borneo Sarawak 2026 yang dijadual berlangsung di Tebingan Kuching pada 26 November ini.
Turut hadir menyambut keberangkatan tiba baginda berdua ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datu Moshidi Fredrick. -EDISI UKAS
Foto: Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak