PRN Sarawak Ke-13: Kesemua 82 Calon Bertanding Di Bawah Satu 'Payung' GPS
KUCHING: Kesemua 82 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 akan bertanding di bawah satu 'payung' dengan menggunakan logo GPS tanpa mengira parti komponen yang diwakili.
Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pencalonan kali ini tidak dilihat berdasarkan pecahan kerusi mengikut parti komponen, sebaliknya sebagai satu gagasan bersama yang mengutamakan kepentingan Sarawak.
“Semua calon bertanding membawa nama GPS. Kita bertanding di bawah satu logo. Kita masuk pilihan raya atas semangat GPS,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Pengumuman Senarai Calon GPS bagi PRN Sarawak Ke-13 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Petra Jaya, di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, GPS akan meneruskan proses peremajaan gabungan berkenaan dengan memberikan peluang kepada muka baharu, termasuk golongan muda, untuk diketengahkan sebagai calon.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyandang kerusi yang memilih untuk tidak bertanding semula, sekali gus membuka ruang kepada calon baharu.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kerana mereka memilih untuk mengundur diri dan memberi peluang kepada muka-muka baharu.
“Ini merupakan proses kita untuk meremajakan GPS dan parti masing-masing,” ujarnya.
Seramai 11 muka baharu diketengahkan pada PRN kali ini, iaitu Wung Duk Ing (DUN Padungan), Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim (DUN Muara Tuang), Yussuf Chik (DUN Simunjan), Awang Nashfarini Awang Sarbini (DUN Beting Maro), Leonard Libau Anol (DUN Simanggang) dan Nor-E-Fadzwie Salleh (DUN Kabong).
Turut disenaraikan ialah Alexander Donald (DUN Ngemah), Kevin Lau Kor Jie (DUN Bawang Assan), Cerisologo Sabut (DUN Pelagus), Nurfatin Syafawani Tahamat (DUN Bekenu) dan Datu Jack Liam (DUN Batu Danau).
Menurut Premier Sarawak, jumlah muka baharu berkenaan mewakili hampir 14 peratus daripada keseluruhan 82 calon GPS, dengan purata umur mereka dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun.
Sementara itu, jumlah calon wanita GPS pada PRN kali ini turut meningkat kepada lima orang dengan penambahan Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim sebagai calon bagi DUN Muara Tuang.
GPS turut mengetengahkan dua calon daripada sayap Pemuda, iaitu Nor-E-Fadzwie Salleh bagi DUN Kabong dan Awang Nashfarini Awang Sarbini bagi DUN Beting Maro. –EDISI UKAS