Pembangunan Menyusuri Kehidupan Rakyat, Konektiviti Baharu Buka Peluang Ekonomi Di Pedalaman
Kemajuan infrastruktur dan kemudahan asas terus menjadi antara keperluan utama penduduk luar bandar Sarawak dalam usaha meningkatkan taraf hidup, meluaskan peluang ekonomi serta memastikan pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.
Di sebalik perubahan yang semakin dirasai di beberapa kawasan luar bandar, masih terdapat harapan penduduk agar kemudahan perkhidmatan, akses kepada keperluan harian dan infrastruktur asas terus dipertingkatkan bagi menyokong kehidupan serta aktiviti ekonomi setempat.
Perkara itu dapat dilihat menerusi perkongsian tiga penduduk ketika ditemui dalam Kembara UKAS 2.0 pada hari ketiga yang memperlihatkan perspektif berbeza mengenai pembangunan di Balai Ringin, Pantu dan Lachau, termasuk perubahan yang telah dinikmati serta keperluan yang masih diharapkan.
Bagi Ramlah Yahya, seorang penjual ikan di Tamu Balai Ringin, kemudahan jalan raya dan akses perhubungan yang semakin baik memberi ruang kepada penduduk untuk meneruskan kegiatan ekonomi, khususnya dalam sektor perniagaan kecil-kecilan.
Ramlah Yahya
Ramlah yang menjual ikan dan udang hasil tangkapan nelayan sekitar berkata, permintaan terhadap jualannya masih menunjukkan perkembangan positif, bergantung kepada bekalan dan musim hasil sungai.
“Musim udang biasanya bermula sekitar Disember hingga Mac, sekali gus menjadi tempoh yang dinanti-nantikan kerana hasil berkenaan mendapat permintaan pelanggan.
“Perniaga bukan sahaja bergantung kepada pembeli tempatan, sebaliknya turut menerima pelanggan tetap serta peniaga yang datang membeli secara borong dari Kuching dan Serian,” katanya.
Tambahnya, bekalan ikan pula diperoleh daripada beberapa sumber, termasuk kawasan Sungai Balai Ringin dan Lubok Antu yang membekalkan ikan tilapia.
Berkenaan pembangunan, ujarnya, Balai Ringin masih memerlukan lebih banyak pembangunan, terutama kemudahan perkhidmatan kewangan dan urusan harian.
Katanya, penduduk masih perlu ke Serian untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan, pengeluaran wang melalui mesin ATM, pembayaran bil dan urusan tertentu yang belum tersedia di kawasan mereka.
Keperluan terhadap stesen minyak serta kemudahan seperti pusat perkhidmatan setempat juga antara perkara yang diharapkan dapat dipertimbangkan bagi mengurangkan kebergantungan penduduk kepada bandar berdekatan.
Di Pekan Pantu pula, Cecilia Edward Chengne yang telah mengusahakan kedai makan selama lebih 20 tahun menyifatkan perubahan pembangunan di kawasan itu semakin ketara, khususnya dari segi kemudahan jalan raya.
Cecilia Edward Chengne
Menurutnya, keadaan jalan yang sebelum ini kurang memuaskan kini semakin baik selepas kerja-kerja penurapan dilaksanakan, sekali gus memberikan keselesaan kepada pengguna dan memudahkan pergerakan penduduk.
Cecilia yang membesar di Pantu dan menjalankan perniagaan di situ sejak sekian lama berkata, perkembangan perniagaannya juga semakin baik berbanding dahulu, meskipun suasana pekan agak lengang pada hujung minggu.
“Namun kita berharap lebih banyak kemudahan dapat disediakan dalam tempoh lima tahun akan datang, terutama perkhidmatan bank, mesin ATM dan kemudahan pembayaran bil bagi mengurangkan keperluan penduduk berulang-alik ke bandar lain,” katanya.
Ujarnya, cadangan mewujudkan pusat perkhidmatan berskala kecil seperti mini Pusat Transformasi Bandar (UTC) juga dilihat mampu memudahkan urusan masyarakat, selain membantu merancakkan aktiviti ekonomi Pekan Pantu.
Katanya, kebanyakan pelanggan terdiri daripada penduduk setempat yang datang untuk mendapatkan makanan selepas menyelesaikan urusan harian, termasuk urusan di klinik dan pejabat kerajaan pada hari bekerja.
Sementara itu, di Pekan Lachau, seorang peniaga, Magdalen Naweng dari Lachau Engkabang turut berkongsi harapan agar pembangunan kemudahan asas di kawasan berkenaan terus diberi perhatian, khususnya penyediaan tempat berniaga yang lebih teratur di Pekan Lachau.
Menurutnya, terdapat penduduk yang terpaksa menyediakan sendiri ruang perniagaan masing-masing kerana kemudahan tapak niaga yang disediakan masih belum siap sepenuhnya.
“Kita juga berharap isu bekalan air bersih dapat ditangani dengan lebih cepat dan berkesan bagi memastikan keperluan asas penduduk terus terjamin,” katanya.
Bagaimanapun, Magdalen bersyukur kerana rumah panjang mereka mempunyai sistem bekalan air graviti bukit yang membantu memenuhi keperluan harian penduduk.
Jambatan Baharu, Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi
Jambatan Batang Lupar 2
Harapan ketiga-tiga penduduk itu memperlihatkan bahawa pembangunan luar bandar perlu bergerak seiring antara kemudahan asas, jaringan pengangkutan dan peluang ekonomi.
Dalam konteks tersebut, pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar seperti Jambatan Batang Lupar 2 menjadi antara perkembangan penting dalam memperkukuh kesalinghubungan kawasan Sri Aman dan Betong.
Jambatan sepanjang 870 meter itu dibuka kepada pengguna pada 31 Oktober 2026, dengan kos pembinaan sebanyak RM223.633 juta. Projek berkenaan turut menampilkan menara kabel setinggi 145.5 meter yang menjadi ciri ikonik baharu di kawasan Simanggang.
Pembinaan jambatan tersebut mengurangkan jarak perjalanan antara Sri Aman dengan Betong daripada kira-kira 73 kilometer kepada 28 kilometer, manakala tempoh perjalanan dipendekkan daripada sekitar satu jam kepada hanya 25 minit.
Perubahan itu membawa implikasi besar kepada penduduk dan pengusaha ekonomi tempatan kerana perjalanan yang lebih singkat memudahkan urusan perdagangan, penghantaran hasil pertanian serta pergerakan barangan dan perkhidmatan.
Malah, pembukaan laluan berkenaan berpotensi memperluas pasaran produk makanan, hasil pertanian dan kraftangan tempatan apabila pengusaha mempunyai akses lebih mudah kepada pelanggan dari kawasan berdekatan.
Sektor pelancongan juga berpeluang menerima manfaat menerusi reka bentuk jambatan yang menarik serta kedudukannya berhampiran kawasan fenomena benak Batang Lupar.
Bandar Sri Aman
Kehadiran pengunjung berpotensi mewujudkan permintaan tambahan terhadap perkhidmatan makanan, penginapan, pengangkutan dan perniagaan kecil.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebelum ini turut menjelaskan bahawa jambatan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak membangunkan 22 jambatan utama dengan peruntukan keseluruhan kira-kira RM7 bilion.
Kesimpulannya, siri kembara pada kali ini menunjukkan bahawa pembangunan yang bermakna bukan sekadar diukur melalui kemudahan fizikal, tetapi juga sejauh mana perubahan tersebut memudahkan kehidupan masyarakat dan membuka ruang kepada peningkatan pendapatan.
Walaupun masih terdapat keperluan yang perlu diberi perhatian, kemajuan jalan raya dan pembinaan jaringan perhubungan baharu menyediakan asas penting untuk memperluas peluang ekonomi di kawasan luar bandar.
Dengan kesinambungan perancangan pembangunan Kerajaan Sarawak serta kerjasama masyarakat setempat, Balai Ringin, Pantu dan Lachau berpotensi terus berkembang sebagai kawasan yang lebih berdaya saing, selesa didiami dan mampu menawarkan peluang ekonomi kepada generasi akan datang. -UKAS