Pencalonan Bukan Sekadar Penghormatan, Tetapi Amanah Besar: Awg Nashfarini
KUCHING: Pencalonan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya amanah besar yang perlu digalas dalam usaha membangunkan kawasan berkenaan.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi DUN Beting Maro, Awg Nashfarini Awg Sarbini berkata, tanggungjawab tersebut akan dilaksanakan sebaik mungkin sekiranya diberikan mandat oleh pengundi.
“Pencalonan ini bukan sekadar satu penghormatan, tetapi satu amanah yang berat untuk saya pikul bagi membangunkan kawasan Beting Maro pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pengumuman Senarai Calon GPS bagi PRN Sarawak Ke-13 oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Rabu.
Mengulas mengenai perancangan pembangunan, Awg Nashfarini berkata, antara keutamaannya adalah untuk merapatkan jurang pembangunan antara Beting Maro dengan kawasan bandar.
Menurutnya, keperluan masyarakat luar bandar perlu diberikan perhatian dalam memastikan pembangunan yang lebih seimbang dan menyeluruh.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk menyokong usaha serta perancangan pembangunan Kerajaan Sarawak yang melibatkan kawasan berkenaan.
Awg Nashfarini, 38, yang dilahirkan di Kampung Pusa merupakan antara 11 muka baharu yang diketengahkan GPS pada PRN Sarawak Ke-13, selain menjadi antara calon daripada sayap Pemuda.
Dari segi akademik, beliau memiliki Diploma Kejuruteraan Awam serta Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Pengangkutan dan Logistik.
Latar belakang profesional beliau merangkumi pengalaman sebagai Penolong Pengurus (Projek) di TH Plantations Berhad serta Pegawai Tadbir Khas kepada Ahli Parlimen P.201 Batang Lupar.
Dalam bidang politik, beliau merupakan Ketua Pemuda PBB N.29 Beting Maro dan Ahli Majlis Tertinggi Pergerakan Pemuda PBB Negeri Sarawak.
Beliau turut terlibat dalam pertubuhan belia, pendidikan dan kesukanan sebagai Naib Pengerusi SABERKAS Beting Maro, Ahli Jawatankuasa Eksekutif SABERKAS Negeri Sarawak, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Beladin serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA).
Awg Nashfarini dicalonkan bagi kerusi DUN Beting Maro yang sebelum ini disandang oleh Dato Razaili Gapor. –EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez & Hazrin