Tiga Dekad Dalam Perkhidmatan Awam, Datu Jack Liam Dicalonkan Di Batu Danau
KUCHING: Pengalaman selama 30 tahun dalam Perkhidmatan Awam Sarawak, khususnya dalam bidang pengurusan alam sekitar menjadi antara latar belakang Datu Jack Liam yang diumumkan sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Danau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Datu Jack yang sebelum ini berkhidmat sebagai Kontroller Kualiti Alam Sekitar di Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak menyifatkan pencalonannya sebagai satu kejutan dan tanggungjawab baharu selepas tiga dekad berkhidmat dalam sektor awam.
Beliau mengakui agak gementar ketika mendengar pengumuman pencalonannya, namun menyatakan kesediaan untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.
Menurutnya, persiapan menghadapi PRN di DUN Batu Danau turut mendapat kerjasama daripada penyandang kerusi berkenaan, Datuk Paulus Palu Gumbang.
“Saya sendiri akan pulang ke kawasan esok untuk bertemu jentera dan memulakan persiapan bagi hari penamaan calon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pengumuman Senarai Calon GPS bagi PRN Sarawak Ke-13 oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Rabu.
Dalam pada itu, Datu Jack memaklumkan bahawa beliau telah melepaskan jawatannya di NREB bagi memberikan tumpuan kepada persiapan menghadapi PRN kali ini.
Mengulas mengenai perancangannya sekiranya diberikan mandat oleh pengundi, beliau menekankan kepentingan pendekatan pembangunan yang inklusif bagi memastikan keperluan semua komuniti di Batu Danau diberikan perhatian secara adil dan saksama.
Menurutnya, kepelbagaian latar belakang masyarakat di kawasan berkenaan, dengan masyarakat Iban membentuk majoriti pengundi, memerlukan pendekatan pembangunan yang mengambil kira keperluan setiap komuniti.
Berasal dari Kampung Bidang, Batu Danau, Limbang, Datu Jack merupakan anak tempatan berketurunan Bisaya.
Dari segi akademik, beliau memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang sains perhutanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) serta ijazah sarjana dalam bidang pengurusan alam sekitar dengan pengkhususan dalam perancangan pembangunan dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). –EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini