MBM: Aduan Awam Mesti Diselesaikan, Bukan Sekadar Ditutup
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) mengarahkan semua ketua jabatan dan seksyen memastikan aduan awam diselesaikan secara berkesan dalam tempoh ditetapkan, bukan sekadar ditutup dalam rekod pentadbiran.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, setiap aduan merupakan suara dan harapan masyarakat terhadap pihak berkuasa tempatan yang perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Datuk Bandar Miri, Ariffin Mohamad sempena Sambutan Hari Integriti MBM 2026, di sini pada Rabu.
Dalam amanat yang sama, Adam Yii menegaskan integriti perlu menjadi asas kepada setiap tindakan dan pelaksanaan tanggungjawab warga kerja MBM bagi memastikan perkhidmatan kepada masyarakat disampaikan secara telus, adil, amanah dan profesional.
Katanya, integriti merupakan tanggungjawab setiap warga kerja tanpa mengira jawatan atau jabatan, dan tiada kompromi terhadap sebarang bentuk rasuah, salah laku serta penyalahgunaan kuasa.
Sehubungan itu, seluruh warga kerja MBM diseru supaya terus meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta mengutamakan kepentingan masyarakat dalam setiap tindakan bagi merealisasikan aspirasi Miri sebagai bandar raya antarabangsa peranginan yang hijau, pintar dan paling sesuai didiami.
Hadir sama, Setiausaha Bandaraya Miri, Abdul Rahman Taupek, Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Cawangan Miri, Zalhairy Mohd Yunus serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS