Warisan Budaya Berpotensi Jadi Sumber Ekonomi Baharu
KUCHING: Warisan budaya Sarawak berpotensi dikembangkan sebagai sumber ekonomi baharu yang mampu membuka peluang pekerjaan dan menjana pendapatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Hikayat Panglima Nikosa yang diterbitkan di Kuching pada 1876, misalnya, boleh dikembangkan sebagai produk ekonomi kreatif dalam pelbagai bentuk bagi memperkenalkan karya bersejarah itu kepada generasi baharu.
“Warisan budaya perlu dilihat bukan sahaja sebagai khazanah sejarah yang perlu dipelihara, malah berpotensi menjadi sumber kreativiti, inovasi dan peluang keusahawanan.
“Bayangkan karya ini dikembangkan dalam bentuk e-buku dan penerbitan digital, dokumentari dan animasi, filem dan pementasan teater, permainan digital serta aplikasi pendidikan dan produk pelancongan warisan dan budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Hikayat Panglima Nikosa di Wisma Melayu Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) menambah, usaha mengembangkan potensi tersebut juga perlu melibatkan golongan muda, syarikat teknologi, penggiat seni dan usahawan tempatan bagi menghasilkan produk digital serta kreatif berasaskan warisan.
Dalam pada itu, beliau mengemukakan lima cadangan bagi memastikan usaha memperkasa warisan berterusan, termasuk memperkukuh penyelidikan dan dokumentasi, memperluas pendidikan serta penyebaran ilmu dan membangunkan industri kreatif berasaskan warisan.
Cadangan lain termasuk membina jaringan akademik antarabangsa serta melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dalam teknologi dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.-EDISI UKAS