Bekas Jurutera Kanan Sarawak Energy Diumum Calon GPS Bekenu
KUCHING: Bekas Jurutera Kanan Sarawak Energy, Nurfatin Syafawani Tahamat merupakan antara muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diumumkan sebagai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Beliau yang dicalonkan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu menyifatkan pemilihannya sebagai satu penghormatan dan tanggungjawab besar.
“Saya sangat berbesar hati dan bangga terpilih sebagai calon. Ini merupakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan, dan saya akan cuba melaksanakannya dengan sehabis baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media Pengumuman Senarai Calon GPS bagi PRN Sarawak Ke-13 oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), pada Rabu.
Mengulas mengenai perancangannya sekiranya diberikan mandat oleh pengundi, Nurfatin berkata, penelitian lebih terperinci terhadap keperluan masyarakat setempat akan dilakukan bagi mengenal pasti aspek yang masih memerlukan penambahbaikan.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk meneruskan usaha pembangunan yang telah dilaksanakan oleh penyandang terdahulu, Datuk Rosey Yunus di kawasan Bekenu.
Menurutnya, antara aspek yang akan diberikan perhatian ialah pemerkasaan program berkaitan wanita serta akses masyarakat setempat kepada pendidikan dan perkembangan semasa. –EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez & Hazrin